Senarai 7 pasangan selebriti berdepan konflik rumah tangga, status hubungan ‘last’ sekali masih jadi tanda tanya

Senarai 7 pasangan selebriti berdepan konflik rumah tangga, status hubungan ‘last’ sekali masih jadi tanda tanya

 

Dalam melayari bahtera perkahwinan, persefahaman memainkan peranan penting untuk memastikan kebahagiaan dalam hubungan suami isteri berkekalan.

Justeru, kegagalan untuk mendapatkan persetujuan bersama akan melahirkan ketegangan dan konflik dalam rumah tangga.

Sepanjang Ramadan hingga Syawal ini, konflik rumah tangga tiga pasangan selebriti iaitu Syamsul Yusof bersama isteri Puteri Sarah Liyana, Farid Kamil dengan Diana Danielle serta Hafidz Roshdi bersama pasangannya Nurul Shuhada Mat Shukri paling mencuri tumpuan.

Sehingga 1 Syawal lalu, kisah mereka terus menjadi bualan terutama di media sosial.

Turut mencuri tumpuan ialah kisah pasangan pelakon, Afiq Muiz dengan Pachara Apin dan artis veteran tanah air, Datuk ND Lala bersama isteri, Datin Fauziah Sarman.

Pastinya tahun ini sambutan Aidilfitri mereka ditakdirkan berbeza.

Ia terpaksa diraikan bersendirian atau hanya dengan anak-anak tanpa suami atau isteri di sisi kerana berdepan dengan konflik rumah tangga.

Farid umpamanya membawa anak sulungnya, Muhammad, 10, meraikan Aidilfitri di kampungnya di Alor Setar, Kedah.

Puteri Sarah bersama dua anak, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, pula meraikan Aidilfitri bersama keluarga mentuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail.

1. Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana

Pasangan selebriti paling mencuri tumpuan dengan konflik rumah tangga mereka. Sejak Syamsul yang juga pengarah dan pelakon membuat pengakuan dia sudah bernikah lagi satu dengan Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu, konflik rumah tangganya dengan isteri pertama, Puteri Sarah, 37, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin terus memuncak.

Selain mula turun naik mahkamah, mereka turut ‘berperang’ di media sosial dengan pelbagai dakwaan, tuduhan, penafian, pujukan dan sebagainya.

Malah, ibu bapa Syamsul terutama ibunya, Datin Patimah Ismail dilihat berpihak kepada Puteri Sarah. Walaupun memaafkan Syamsul, tetapi Patimah dilihat sukar untuk menerima Ira sebagai menantu barunya.

Sekalipun dilihat akan berakhir apabila Syamsul dikatakan akan melafazkan cerai pada 18 April lalu, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Prosiding lafaz cerai gagal selepas pihak peguam Syamsul mendakwa ada kecacatan dalam prosedur Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) selain Puteri Sarah enggan menerima syarat Syamsul yang disifatkan keterlaluan.

Mahkamah menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula dan mendengar penjelasan daripada pihak JKP.

2. Farid Kamil dan Diana Danielle

Ribut tidak, angin pun tidak, tiba-tiba pelakon, Diana Danielle, 32, membuat permohonan cerai daripada suaminya yang juga pelakon dan pengarah, Farid Kamil, 42, awal Mac lalu.

Tindakan Diana agak mengejutkan kerana tidak ramai tahu mengenai konflik rumah tangga pasangan itu sebelum ini. Apatah lagi mereka dilihat mesra ketika mengerjakan umrah bersama dua anak, Muhammad, 10; dan Nur Aurora, 8, pada Februari lalu.

Diana yang membuat permohonan cerai itu memberi alasan tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Farid sudah tidak tinggal sebumbung dengan Diana, bagaimanapun enggan melafazkan cerai dalam sesi berlangsung di Mahkamah Syariah Subang Bestari pada 20 Mac lalu.

Seperti juga Syamsul dan Puteri Sarah, pasangan ini turut ‘berperang’ di media sosial hingga menarik perhatian ramai.

Ketika prosiding sulh (perdamaian) di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 11 April lalu, Farid mencuri perhatian apabila memberikan empat tawaran dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM319,700 kepada Diana bagi menyelamatkan rumah tangga mereka.

Empat tawaran itu ialah sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire berharga RM225,000; barangan kemas bernilai RM10,700; wang pendahuluan nafkah dari Mac hingga Jun 2023 sebanyak RM40,000 dan bayaran balik pakej mengerjakan umrah bernilai RM44,000.

Bagaimanapun, Diana yang tidak hadir pada hari itu menolak tawaran berkenaan dan meminta diceraikan secara baik.

Selain itu, Diana memohon Farid tidak akan mengabaikan tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada dua anak mereka.

3. Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada

Curang dengan wanita lain dan menumbuk muka isterinya menjadikan konflik rumah tangga pelakon, Hafidz Roshdi bersama isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri terus menjadi tumpuan.

Selain itu, wanita yang didakwa kekasih kepada Hafidz iaitu Athira Yuhada turut memfailkan satu tuntutan saman terhadap Nurul Shuhada susulan kenyataan dimuat naik pada 15 Februari lalu.

Nurul Shuhada turut aktif di media sosial berhubung masalah berkenaan hingga mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi netizen.

Nurul Shuhada pula memaklumkan dia hamil 10 minggu pada 13 April lalu.

Menurutnya, dia berkongsi berita hamil itu kerana mahu mengelak fitnah.

“Saya menjalankan tanggungjawab wajib sebagai isteri walaupun hati sedang bersedih dan kecewa tambahan lagi kami tinggal sebumbung lagi ketika itu.

“Saya membuat perkongsian di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan fitnah pada masa akan datang. Malah, saya juga sudah mendapatkan nasihat peguam sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

4. Afiq Muiz dan Pachara Apin

Isteri kepada pelakon Afiq Muiz iaitu Pachara Apin atau nama Islamnya Nur Aaira Mahdeya, 32, membuat permohonan tuntutan cerai secara fasakh atau melepaskan ikatan perkahwinan terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 29 Mac lalu.

Difahamkan, Pachara juga sudah memfailkan permohonan fasakh terhadap Afiq pada Oktober tahun lalu.

Antara alasan Pachara membuat permohonan tuntutan cerai secara fasakh terbabit kerana Afiq tidak beri nafkah antara 2021 hingga Disember 2022.

Terdahulu, Pachara turut membuat laporan polis pada 14 Mei 2021 atas dakwaan Afiq menampar bahagian mukanya sebanyak lima kali serta menendang perut dan menumbuk bahagian dagu sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, pada Disember 2022, Afiq membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil, Selangor selepas dituduh mencederakan Pachara dan dia bercadang untuk membawa kes terbabit ke mahkamah bagi membersihkan namanya yang tercalar.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2019 namun tidak dikurniakan cahaya mata.

5. Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman

Isteri kepada artis veteran, Datuk ND Lala iaitu Datin Fauziah Sarman didakwa memfailkan perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9 pada 3 April lalu.

Fauziah juga dilaporkan memuat naik gambar wanita yang dikenali sebagai Siti Munirah Abd Ghani yang didakwa sudah bernikah dengan suaminya itu di laman Instagram, baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyanyi Syada yang juga adik kepada penyanyi popular Shila Amzah tampil menafikan ibunya itu sudah memfailkan perceraian terhadap bapanya di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat terbabit.

6. Zulin Aziz dan Farhan Norzaini

Pelakon dan pengacara Zulin Aziz, 33, pula menarik perhatian apabila memberi bayangan menerusi hantaran di Instagram seolah-olah rumah tangga bersama suami, Farhan Norzaini kini menuju ke arah perceraian.

Perkongsian terbaharu Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, membabitkan rumah tangganya pada minggu akhir bulan Ramadan turut mengejutkan ramai terutama pengikutnya.

Zulin sah menjadi isteri kepada Farhan Norzaini yang juga rakan kongsi perniagaannya pada 20 Februari 2022.

Begitupun Zulin dilaporkan sudah berbaik semula dengan suami bagi memberi ruang kepada kedua-duanya memperbaiki keadaan.

7. Engku Emran dan Noor Nabila

Rumah tangga kakak kepada selebriti popular Neelofa iaitu Noor Nabila dengan pasangannya Engku Emran Engku Zainal Abidin didakwa sudah retak menanti belah dan heboh diperkatakan ramai pada penghujung Februari lalu.

Sumber rapat kepada pasangan itu mendedahkan mereka juga sudah tidak tinggal sebumbung dan dikatakan dalam proses perceraian.

Difahamkan, hubungan mereka sudah tidak sehaluan sejak beberapa bulan lalu apabila tiada foto atau video bersama di media sosial masing-masing.