Serina Redzuawan hilang hak jagaan kekal anak kedua

Serina Redzuawan hilang hak jagaan kekal anak kedua

 

Pelakon Serina Redzuawan hilang hak penjagaan anak perempuannya, Isabella Saffiya selepas ia diberikan kepada bekas suaminya Gavin Edward O’luanaigh oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam.

Menurut laporan Kosmo! Online, peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin berkata, mahkamah membuat keputusan tersebut selepas menemu bual kanak-kanak berusia 12 tahun itu.

“Mahkamah membuat keputusan setelah menemu ramah Isabella tentang pilihannya hendak tinggal dengan siapa selama hampir 30 minit selain mahkamah turut mendengar keterangan Gavin serta hujahan pihak kami,” katanya.

Zainul berkata, Serina yang sebelum ini mendapat hak penjagaan kekal Isabella dan anak sulung, Tristan Tareef tidak pernah mengambil anak tersebut (Isabella) tinggal bersamanya.

“Berdasarkan keputusan hari ini, hak penjagaan kedua-dua anak tersebut Tristan dan Isabella kini diberikan kepada Gavin dan Serina diberikan hak lawatan dua minggu sekali,” ujarnya.

Difahamkan, Serina yang juga anak kepada chef selebriti iaitu Chef Wan tidak hadir ke mahkamah walaupun saman telah diserahkan kepadanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Gavin menuntut hak tersebut disebabkan bekas isterinya telah berkahwin baharu selain didapati telah berpindah ke Arau, Perlis menyebabkan wanita itu sukar untuk memikul tanggungjawab menjaga Isabella.

Sekitar Ogos 2020, mahkamah memutuskan Serina mendapat hak penjagaan kekal terhadap Isabella, manakala Gavin mendapat hak penjagaan kekal terhadap anak sulung lelaki mereka, Tristan.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 1 Januari 2010 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.