Sering disoal tentang zuriat, ini respon Izzue Islam
Pelakon Izzue Islam yang hampir sembilan tahun mendirikan rumah tangga memberitahu dia sudah lali dengan pertanyaan tentang zuriat.
Memetik laporan Utusan, dia tidak pernah terasa hati selagi pertanyaan tersebut bukan berbentuk sindiran.
“Ketika awal perkahwinan, saya memang rimas kalau orang asyik bertanya mengenai anak. Saya respons mengikut intonasi pertanyaan, apakah mereka betul-betul bertanya atau mahu menyindir.
“Daripada marah, lebih baik saya beredar. Kalau sekadar bersembang, saya jawab sahaja. Tiada masalah kerana saya dan isteri akur, belum rezeki untuk menimang cahaya mata,” katanya.
Disoal tentang pengambilan anak angkat, pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini pernah mempertimbangkan perkara tersebut.
Namun, bimbang tidak dapat melunaskan tanggungjawab ketua keluarga dengan baik, dia dan isteri, Awin Nurin terpaksa menangguhkan hasrat itu.
“Saya pernah berbincang dengan Awin mengenai perkara ini. Namun, apabila difikirkan balik, saya jadi risau sebab takut anak terabai dan tidak mampu memberi kasih sayang sepenuhnya.
“Jadual kerja saya pula tidak menentu dan bimbang kalau dibawa ke hulu dan ke hilir, nanti jatuh sakit dan akan membebankan banyak pihak,” ujarnya.
Menurut Izzue, dia sangat beruntung kerana memiliki ahli keluarga yang memahami karier dan kehidupan peribadinya dan tidak mendesak agar segera memiliki cahaya mata.
“Ahli keluarga tidak pernah bertanya tentang pengambilan anak angkat. Lagipun, saya ada anak saudara yang ramai, jadi mereka tidak pernah bertanya perkara itu dan faham situasi kami,” jelasnya.
Secara jujur, Izzue menjelaskan bahawa dia tidak sempat kesunyian apabila rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan komitmen kerja.
“Kalau orang cakap, anak adalah punca bahagia, kami pula mempunyai pendapat sendiri. Kebahagiaan itu boleh kita cipta, meskipun tanpa kehadiran cahaya mata.
“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Cuma, sudah tentu ia akan menjadi lebih bermakna apabila dikurniakan anak.
“Ada juga yang memiliki ramai anak tetapi kehidupan porak-peranda, ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” jelasnya lagi.