Seruan kerjasama negeri dan pusat oleh MN dianggap tertinggal keretapi

Seruan kerjasama negeri dan pusat oleh MN dianggap tertinggal keretapi

Kerajaan Selangor digesa menjalinkan kerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Persekutuan bagi menguruskan penularan wabak Covid-19 di negeri ini dengan sebaiknya.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menerusi satu kenyataan bersama berkata, kerajaan Selangor pada masa ini dilihat lebih cenderung berpolitik dengan menunding jari menyalahkan kerajaan Persekutuan susulan kegagalan mengawal peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Kata mereka, Maufakat Nasional (MN) Selangor berpandangan kerajaan negeri sepatutnya menggerakkan semua kemudahan dan sumber negeri yang ada bagi menghadapi serangan pandemik ini.

“Walaupun Selangor merupakan sebuah negeri termaju di Malaysia dengan memiliki kemudahan asas terbaik dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serba lengkap namun mereka gagal mengawal pandemik ini sehingga mengancam nyawa rakyat,” kata mereka dalam kenyataan itu pada Rabu.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud pada Rabu berkata, kerajaan negeri menolak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya diberikan pilihan oleh Majlis Kelamatan Negara (MKN) dan kerajaan Persekutuan.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi sidang media pada hari sama turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menolak pelaksanaan PKP secara menyeluruh namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara holistik dengan melihat kepada beberapa aspek agar dapat diseimbangkan bagi memastikan kehidupan rakyat berjalan lancar.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut berkata, rakyat Selangor diseru agar dapat mematuhi dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh MKN bagi bersama-sama mengelak jangkitan wabak Covid-19.

“Sentiasa amalkan norma baharu dan semoga ALLAH membantu kita keluar daripada krisis ini,” katanya. – SH