Setahun berlalu, Han Isaac mula terasa bahang sebenar dunia politik

Setahun berlalu, Han Isaac mula terasa bahang sebenar dunia politik

Selebriti Hans Isaac mulai diserang musuh politik susulan keputusannya menyertai PKR tahun lalu, di tambah dengan spekulasi bertebaran bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Ampang, menentang Zuraida Kamaruddin dari PPBM.

Hans menegaskan kesediaannya menangkis serangan politik itu dan pada masa sama, menerima hakikat bahawa ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam dunia politik.

“Dalam politik ini, semua akan cari yang salah sahaja. (Perkara) yang bagus, saya rasa, susah nak tonjol melainkan anda parti pemerintah lah…itu cerita lain, sebab media boleh dikawal, media boleh digunakan untuk manfaat (sendiri).

“Saya perlu bersedia. Sekarang ini dah berlaku dan saya tengah mengalami ‘benda’ itu sekarang. Tapi saya rasa benda-benda ini akan kuatkan semangat saya lagi,” katanya dalam wawancara FMT.

Diminta mengulas lanjut mengenai “serangan politik” yang dialaminya, Hans yang kini menginjak usia 50 tahun berkata, ia “agak peribadi”.

“Jadi tidak perlulah saya cerita (dalam temubual ini), lagipun itu hal saya. Isu (seperti) ini selalunya, bila kita naik, (bermakna) orang akan menggunakan mulut untuk menjatuhkan kita. Kan?

“Sebab, mungkin mereka tidak bekerja. Jadi bila tak bekerja, (dia fikir) nak jatuhkan orang macam mana?” katanya.

Hans antara selebriti top dalam dunia hiburan tanah air, dengan mengukir nama sebagai pelakon, pengarah, penerbit untuk sekian lama serta pernah juga menjadi model. Beliau juga bekas pengerusi bukan eksekutif di Finas, sebelum mengambil keputusan menjadi ahli politik sepenuh masa bersama PKR.

Masyarakat kini lebih matang

Hans percaya tindakannya menceburi bidang politik sepenuh masa bersesuaian dengan keadaan semasa negara dan pemikiran masyarakat yang lebih matang.

“Saya pernah kerja dengan semua parti lain semasa mereka jadi kerajaan. Sahabat saya semua datang daripada pun parti-parti lain, tapi masih boleh lepak di Ampang, bincang, minum bersama, tak ada masalah.

“Tak ada sedikit pun bergaduh, memanggil nama-nama tak berfaedah, seperti di Parlimen. Mungkin ini masa depan…ini sesuatu yang kita perlu perhatikan. Kita boleh jadi contoh kepada orang lain.”

Walaupun sudah lama menyimpan cita-cita menjadi ahli politik, Hans berkata hasrat itu dipendamkan sekian lama kerana mengambil kira kerjayanya dalam alam hiburan.

“Saya sudah fikir perkara ini selama 10 tahun, setiap kali saya lalu di Ampang, saya nampak muka ahli-ali politik, saya katakan pada diri nantilah (saya akan masuk alam politik), bukan sekarang.

“Sebabnya, pada masa itu kalau kita masuk politik, secara tidak langsung kerja seni akan berkurang, tidak dipanggil dan peminat juga berpecah,” kata beliau.

“Tetapi, masa sudah berubah, masyarakat sudah matang. Hal ini kerana bukan lagi satu parti pegang kerajaan secara sepenuhnya, ia gabungan,” katanya.

Dalam politik gabungan, kata Hans, perbezaan pendapat diraikan dan amalan cantas-mencantas hanya kerana pemikiran politik berlainan dibendung dengan lebih berkesan.

“Pandangan saya, mungkin pilihan raya umum ke-15, akan jadi gabungan juga. Jadi, adakah anda mahu senarai hitam saya atau saya juga senarai hitam anda? Mungkin nanti juga kita akan berkawan,” katanya.

Nafi intai Ampang

Hans kini aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan bergelar Kita Budak Ampang yang menjalankan kerja kebajikan seperti membantu warga emas, mangsa kebakaran, dan aktiviti sosial bersama masyarakat di Ampang dan luar daerah berkenaan.

NGO ini sudah aktif lebih dari setahun lamanya dan penglibatan Hans mencetuskan spekulasi beliau akan bertanding di Parlimen itu menentang Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pada PRU15.

Walaupun Hans nafi mengintai kerusi yang disandang Zuraida sejak 2008, ia gagal meredakan spekulasi berkenaan, malah menjadikan beliau sasaran serangan politik.

“Dari segi pergerakan di Ampang, saya rasa…boleh buat lagi baik. Yang saya tahu, sebelum saya gerak Kita Budak Ampang, Ampang ‘senyap’ setahun lebih. Tidak ada apa yang bergerak di Ampang.

“Jadi bila saya mula bergerak di Ampang ini, untuk buat dengan NGO saya, saya nampak semua orang mula bergerak. Tak tahu kalau kerana mereka takut saya bergerak, (sebab itu) mereka nak gerak…atau pun memang mereka dah tunggu untuk bergerak sama dengan saya.”

Jawapan kepada persoalan itu tentunya hanya semakin jelas menjelang PRU15. – FMT