Setahun merana jadi mangsa cyberbully, rupanya ibu sendiri jadi dalang

Setahun merana jadi mangsa cyberbully, rupanya ibu sendiri jadi dalang

 

Seorang wanita dari Michigan, Amerika Syarikat telah ditangkap pada 12 Disember lalu selepas didakwa perangkap dan mengganggu dua remaja dengan melakukan buli siber selama setahun, lebih teruk lagi salah seorang remaja itu adalah anak perempuannya sendiri.

Menurut laporan sumber, Kendra Gail Licari, 42, kini menghadapi 5 pertuduhan yang merangkumi; 2 pertuduhan stalk  remaja bawah umur, 2 pertuduhan menyalahgunakan komputer untuk melakukan jenayah dan1 pertuduhan gangguan atas cubaan perangkap dan menjerat remaja lain.

Dapat tahu anak kena buli, buat siasatan

Licari bekerja sebagai jurulatih bola keranjang di sebuah sekolah yang terletak di daerah Bandar Beal, tempat anak perempuannya belajar.

Pada Disember 2021, siasatan bermula terhadap laporan serangan buli siber yang menjejaskan imej anak perempuan Licari dan teman lelakinya ketika itu.

Pada mulanya, Licari dan ibu teman lelaki anaknya bekerjasama dengan pegawai sekolah untuk mengenal pasti dan menyingkirkan pembuli siber itu.

Walaubagaimanapun, ia agak sukar pada mulanya kerana sumber dari sekolah tidak mencukupi untuk mengesan pelakunya yang dikatakan menggunakan peranti peribadi dan bukan hak milik sekolah.

FBI mula campur tangan

Namun, pada Januari 2022, hal ini sudah jadi campur tangan pihak berkuasa tempatan untuk menyertai siasatan, diikuti dengan FBI pada bulan April berikutnya.

Secara keseluruhan, pihak berkuasa telah berjaya mengumpulkan 349 halaman teks dan mesej berbaur gangguan di media sosial yang ditujukan buat dua remaja itu.

Menurut Oakland Press, gangguan itu bermula pada awal 2021, dan ia dipercayai datang daripada individu yang sebaya dengan anak perempuan Licari, perkara itu diperhatikan berdasarkan penggunaan istilah, slanga dan singkatan ayat yang biasanya digunakan oleh golongan sebaya anaknya itu apabila menghantar mesej.

Hasil usaha pihak berkuasa tempatan mendapati bahawa sumber asal mesej itu datang dari lokasi yang sama dengan si mangsa, biarpan mangsa mengembara ke tempat lain, si pelaku akan melakukan aktiviti intipan secara online dan lokasi memang sama.

Bagaimanapun, siasatan jenayah komputer FBI mendapati, pelaku telah menggunakan rangkaian persendirian maya (VPN) untuk menukar lokasi dan menyembunyikan alamat IP, pelaku seolah-olah sudah tahu bahawa dia sedang dikesan.

“Dengan berbuat demikian, ia akan melindunginya untuk menutupi identiti sebenar atau identiti digitalnya,” jelas pendakwaraya Isabella County, David Barberi.

“Tetapi akhirnya, kami berjaya membuatkan alamat IPnya muncul dan keluar sejurus sebelum dan selepas mesej ini dihantar.”

FBI dah mula hidu

Kendra Licari

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, FBI akhirnya berjaya mengesan bahawa alamat IP yang digunakan untuk membuat buli siber itu adalah milik Licari sendiri.

Mereka dengan cepat memberitahu pihak berkuasa Bandar Beal, William Chillman bahawa mereka percaya Licari adalah dalangnya.

“Walaupun kami dah dapat hidu bahawa pelaku bukanlah seorang remaja, kami tidak menyangka bahawa pelaku itu adalah ibu dia sendiri,”kata Chillman kepada ABC.

Apabila polis berhadapan dengan Licari, dia mengaku bahawa dia adalah pelakunya, kata Barberi. Walau bagaimanapun, apa yang masih jelas pada masa ini ialah motif Licari bertindak sedemikian.

Licari telah dibebaskan dengan bon $5,000 dan kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atas tuduhan jenayah buli siber yang merangkumi 5 tahun penjara kerana jadi stalker remaja dan 5 tahun penjara lagi atas kesalahan gangguan.