Setelah 2 tahun menyorok, Daish mulai berani menunjukkan wajahnya semula

Setelah 2 tahun menyorok, Daish mulai berani menunjukkan wajahnya semula

Enam individu ditahan kerana terlibat dengan kumpulan pengganas Daish menerusi operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada 6 dan 7 Januari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan memaklumkan lima daripada individu yang ditahan merupakan warganegara tempatan sementara seorang lagi merupakan warga Indonesia.

Menurut beliau, ketika tangkapan dua helai bendera kumpulan Daish, sebilah parang dan pisau turut dirampas.

Jelasnya, semua yang ditangkap merupakan anggota Anshorullah at Tauhid, sel kumpulan Daish yang ditubuhkan pada Oktober 2019 bertujuan mempromosikan ideologi salafi jihadi, merekrut anggota baharu dan melancarkan serangan di Malaysia.

“Siasatan PDRM mendapati tiga daripada individu yang ditahan telah mengeluarkan ancaman bunuh kpada Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa menteri kabinetnya kerana mengamalkan kerajaan thoghut.

“Selain itu mereka juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat perjudian di Genting Highlands, Pahand dan kilang arak di sekitar Lembah Kelang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, katanya hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan tidak mempunyai sebarang perancangan dan persediaan untuk membuat serangan berkenaan.

“Dua warganegara Malaysia dan seorang warganegara Indonesia yang mengeluarkan ancaman berkenaan telah didakwa di bawah seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana mempunyai milik, jagaan atau kawalan bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas atau perbuatan pengganas dan telah dijatuhkan hukuman penjara.

“Manakala tiga yang lain dibebaskan atas arahan timbalan pendakwa raya,” katanya lagi. – AA