Setelah begitu lama di ‘troll’ pembangkang, PM akhirnya perjelas mengapa harga petrol tak boleh turun kepada RM1.50 seliter

Setelah begitu lama di ‘troll’ pembangkang, PM akhirnya perjelas mengapa harga petrol tak boleh turun kepada RM1.50 seliter

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

Perdana Menteri berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).

“Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.

“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah.

“Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi pendirian, meminta Ahli Parlimen pembangkang meneruskan rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, jika mahu peruntukan diberikan kepada mereka.

Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak angkuh dan sombong, sebaliknya berbincang dengan kerajaan bagi tujuan demikian memandangkan peruntukan itu bukanlah hak wakil rakyat.

“Lepas putus, tandatangan dan luluslah. Ini tidak, tak payah tandatangan, tak payah bincang (Ahli Parlimen pembangkang minta) beri (peruntukan dan kata) ini hak kami.

“Bukan, bukan hak Ahli Parlimen. Runding (dahulu), setuju kita lulus. Kalau tidak, tunggulah sampai bila-bila pun, saya tak akan luluskan.

“Keputusan ini mengambil contoh yang pernah dibuat Bera (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ketika menjadi Perdana Menteri, sebelum ini.

“Seperti diluluskan (Bera) sewaktu menjadi Perdana Menteri, peraturan yang lebih kurang kita guna.

“Nak peruntukan, bincang dan saya tugaskan Timbalan Perdana Menteri II (Fadillah) untuk mewakili pihak kami. Selesai dengan baik. Runding, jangan sombong dan angkuh,” katanya.