Setelah dikritik hebat, Ismail Sabri kata SOP Tahun Baru Cina boleh dipertimbangkan untuk diubah

Setelah dikritik hebat, Ismail Sabri kata SOP Tahun Baru Cina boleh dipertimbangkan untuk diubah

Semua prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan bukan Islam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat hasil perbincangan dengan pelbagai pihak.

Justeru, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kehairanan apabila SOP yang diumumkan beliau semalam dikritik hebat oleh masyarakat Cina sendiri.

“Dalam isu ini, Kementerian Perpaduan Negara mengadakan dua kali sesi libat urus dengan melibatkan 21 badan agama, kebudayaan dan perniagaan Cina,” katanya melalui kenyataan.

Antaranya ialah Malaysian Buddhist Association, Persekutuan Persatuan Taoist Malaysia, Lutheran Church of Malaysia, Malaysian Chinese Muslim Association dan Fo Guang Shan.

Beliau dipercayai turut merujuk kenyataan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Ti Lian Ker yang mendakwa konon kerajaan melakukan kesilapan dalam pelaksanaan SOP perayaan itu.

Katanya, senarai yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara, (MKN) semalam perlu ditarik balik dan diganti segera dengan versi baharu yang disemak semula sekali lagi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan jarang mengubah SOP yang telah diputuskan kementerian itu hasil rundingan bersama para pemimpin badan berkaitan.

“Namun jika ada sebarang perubahan yang ingin dipinda selepas dengar pandangan ramai, kementerian itu boleh dibentangkan semula kepada MKN untuk dipertimbangkan,” tegasnya.

Beliau memberi contoh SOP untuk perayaan Deepavali, Thaipusam, Krismas, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan juga dibuat melalui proses yang sama sebelum dimuktamadkan pihak MKN.

Ia malah kata beliau, wajib dibincangkan bersama wakil setiap organisasi keagamaan dan kebudayaan terbabit untuk persetujuan sebelum dibawa pula kepada Kementerian Kesihatan.

Langkah teliti tersebut jelasnya, bagi penilaian dari segi risiko kesihatan dan selepas itu pihak Kementerian Perpaduan Negara akan kemukakan SOP itu kepada MKN untuk kelulusan.  – UO