Setelah diugut untuk saman CITF, KJ mulai berlembut jemput MB Selangor berbincang

Setelah diugut untuk saman CITF, KJ mulai berlembut jemput MB Selangor berbincang

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan wujud salah faham berhubung kenyataan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan penyedia perkhidmatan sistem pengesanan kontak Kerajaan Selangor, Selangkah Ventures Sdn Bhd (SELANGKAH) semalam.

Katanya, beliau sudah berhubung dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mengenai perkara itu.

“Saya baharu berkomunikasi dengan YB (Yang Berhormat) Khairy (Jamaluddin). Mengenai kenyataan CITF dan SELANGKAH, terdapat salah faham dalam kenyataan semalam.

“Esok beliau (Khairy) undang saya untuk bertemu bagi menyelaras gerak kerja yang lebih padu. Benda boleh bincang, kenapa perlu ‘war’ (perang) di media,” ciapnya di Twitter hari ini.

CITF dalam kenyataannya semalam mendapati ada individu mendapat janji temu bagi vaksin AstraZeneca kerana didaftarkan oleh pihak lain tanpa persetujuan mereka.

Semakan dan siasatan awal mendapati, beberapa slot vaksin itu ditempah bagi pihak lain dalam jumlah yang besar tanpa pengetahuan penerima.

CITF mendapati tempahan itu dilakukan menerusi beberapa alamat protokol internet (IP) sama dan sudah menghubungi wakil SELANGKAH yang dikesan di antara pihak membuat tempahan slot vaksin terbabit dalam jumlah banyak.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif SELANGKAH, Tengku Iesta Tengku Alaudin dalam kenyataan balasnya menafikan dakwaan terbabit dan menegaskan tuduhan itu tidak mempunyai asas sama sekali.

Katanya, SELANGKAH tidak pernah dihubungi oleh CITF bagi membincangkan isu berkenaan, dan sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mencemarkan imej syarikat itu. – BH