Setelah mendapat kecaman warganet, Pas akhirnya mengaku P Kumar bukan pengerusi pusat tahfiz al-Quran

Setelah mendapat kecaman warganet, Pas akhirnya mengaku P Kumar bukan pengerusi pusat tahfiz al-Quran

 

PAS Negeri Sembilan tampil mengakui bahawa berlaku kesilapan pada profil calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bahau, P Kumar yang dinyatakan sebagai pengerusi pusat tahfiz al-Quran.

Akhbar Sinar Harian memetik Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha sebagai berkata, pihaknya telah mengarahkan semakan dan pembetulan dibuat segera bagi mengelakkan salah faham.

“Saya dapat maklumat daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pusat bahawa Kumar adalah penaja kepada sebuah pusat tahfiz di Sabah.

“Mungkin ada kekeliruan di situ. Tapi jika betul ada kesilapan, kita minta maaf kerana ia bukan disengajakan,” katanya.

Sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu, poster Kumar menimbulkan keraguan orang ramai, khususnya warga maya yang mempersoalkan jawatannya sebagai pengerusi pusat tahfiz al-Quran.

Ini kerana, menurut mereka adalah mustahil orang bukan beragama Islam memegang jawatan tinggi dalam sebuah pusat tahfiz.

Mengulas lanjut, Rafiei, juga menolak dakwaan yang PAS cuba menipu profil calon.

“Semua maklumat dalam profil itu perlu dipastikan kesahihannya dulu. Tapi saya difahamkan yang beliau (Kumar) terus berkongsi di Facebooknya tanpa melalui proses semakan dahulu.

“Saya rasa hanya seorang sahaja profil calon kita yang berlaku kekeliruan dan jika anggap keseluruhannya begitu memang tak adillah bagi kita,” katanya lagi.

Rafiei bagaimanapun tidak menjawab soalan mengenai kelayakan Kumar.

Menurut pengguna Facebook, Sharipuddin Muis Universiti Bethel Faith, yang disenaraikan oleh Kumar sebagai universiti tempat dia belajar, tidak wujud.

“Yang ada ialah Bethel University yang merupakan sebuah universiti Kristian swasta di Minesota, Amerika Syarikat. Bethel Univerisity (juga) tidak menawarkan Diploma in Business Management.

“Mereka hanya menawarkan Bachelor of Science in Business Management. Tidak ada program diploma di Bethel University,” katanya.

Sharipuddin turut mempersoalkan kesahihan dakwaan Kumar sebagai anggota persatuan apolis dan tentera sedangkan dia langsung tidak menyenaraikan kerjaya sebagai anggota keselamatan.

“Beliau juga menggunakan gelar “Dr”. Saya tidak pasti ia merujuk kepada kelulusan sebagai doktor perubatan atau doktor falsasafah. Kelulusan beliau hanyalah diploma, itu pun diploma yang dipertikaikan.

“Terlalu banyak keraguan. Saya tak fikir ia kebetulan,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pembantu Kumar untuk mendapatkan ulasan calon itu.

Kumar berdepan calon penyandang Pakatan Harapan Teo Kok Seong daripada DAP di Bahau pada pilihan raya negeri 12 Ogos.

Bagi PRN 12 Ogos ini, Kumar akan berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH) Teo Kok Seong dari DAP.

Teo memenangi kerusi Bahau sejak PRU14 lalu.