Setelah pembohongannya terbongkar, Wee Ka Siong berlakon seolah-olah prihatin terhadap warga India
Kru kapal warga asing dari India yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tidak dibenarkan “sign off” atau turun dari kapal sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 12 Mei hingga 7 Jun bagi membendung penularan Covid-19, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.
Katanya, pengecualian hanya diberikan kepada warganegara Malaysia yang wajib menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin ditentukan kerajaan mengikut SOP digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil maklum keprihatinan orang ramai berhubung SOP bagi aktiviti perkapalan di pelabuhan.
Wee berkata, beliau mempengerusikan persidangan televideo bersama Jabatan Laut (JLM) dan pelbagai pihak berkuasa pelabuhan di bawah MOT pada 26 April lalu untuk menyampaikan strategi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah varian dari India memasuki Malaysia, yang dikuatkuasakan mulai 28 April lalu.
“JLM juga akan saling berkomunikasi dengan semua pihak berkuasa pelabuhan berkaitan mengenai SOP serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh semua kapal beroperasi di Malaysia. Mereka akan saling bekerjasama berhubung aktiviti pertukaran anak kapal, larangan beroperasi dan lain-lain aktiviti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, SOP ditetapkan KKM dan MKN bagi mencegah penularan pandemik di pelabuhan seluruh negara juga termasuk kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala Covid-19 perlu dikuarantin 14 hari, selepas semakan ke atas dokumentasi Deklarasi Kesihatan Maritim oleh KKM.
Katanya, semua pekerja di dermaga perlu menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang diluluskan KKM seperti pelitup muka dan sarung tangan pakai buang semasa bekerja di kapal.
Pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga tidak dibenarkan memasuki kapal berlabuh di pelabuhan tanpa kelulusan KKM.
Selain itu, semua operasi kargo sama ada di atas dek utama atau ruangan kargo boleh dijalankan pekerja pelabuhan (seperti pekerja pengikat tali dan pemunggah kargo) tanpa sebarang interaksi dengan anak kapal.
Setiap pengemudi kapal yang menjalankan operasi atau merapat ke dermaga dikehendaki mematuhi SOP ketat KKM, termasuk memakai PPE dan pelitup muka.
Wee berkata, pengendalian kargo bagi semua kapal asing dari mana-mana negara di semua pelabuhan dalam negara ini dibenarkan bersandarkan SOP KKM serta mengikut prosedur operasi dan kebenaran JLM, termasuk pihak berkuasa di pelabuhan terbabit.
Katanya, MOT akan terus memastikan semua SOP pencegahan Covid-19 yang ditetapkan MKN dan KKM dipatuhi tanpa kompromi serta mengetatkan lagi SOP dari semasa ke semasa, sekiranya ada keperluan.
“Kami juga komited melakukan penambahbaikan dalam misi MOT untuk memelihara keselamatan serta kelestarian di sektor pengangkutan dan logistik negara,” katanya. – FMT