Setelah terdesak, Zafrul mulai berlembut tambah bantuan sedia ada

Setelah terdesak, Zafrul mulai berlembut tambah bantuan sedia ada

Kerajaan sedang mengkaji semula semua langkah sedia ada dan bersedia memperkenalkan bantuan tambahan bagi menyokong kelangsungan rakyat dan perniagaan yang terkesan dalam menghadapi cabaran ekonomi pada bulan-bulan akan datang.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan turut mengambil kira sektor-sektor ekonomi yang tidak dibenarkan beroperasi sehingga fasa keempat, seperti yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

“Melalui perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan (MoF), kita bersedia memberi bantuan tambahan dalam tempoh masa terdekat.

“Sebaik sahaja perincian dimuktamadkan, MoF boleh merangka penambahbaikan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan,” katanya ketika mengulas mengenai kebajikan rakyat dan Pelan Pemulihan Negara pada program AWANI 7.45, malam ini.

Mengambil contoh program subsidi upah (PSU), Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah mengkaji semula PSU terutamanya bagi sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sehingga fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara.

“Setakat ini, kita telah melanjutkan PSU selama sebulan dan kita beri bantuan bagi sektor yang tidak dapat dibuka bagi fasa ketiga dan keempat. Kita akan kaji bantuan dan pelaksanaan bantuan dan langkah-langkah sedia ada,” katanya.

Dilaporkan bahawa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah meluluskan sebanyak 330,586 permohonan daripada majikan yang memberi manfaat kepada 2.72 juta pekerja dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM15.04 bilion.

Mengulas mengenai fasa pertama dan kedua pelan tersebut, Tengku Zafrul berkata, negara kerugian RM1 bilion sehari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan pada masa ini, namun jumlah tersebut dijangka berkurangan apabila memasuki fasa-fasa seterusnya.

Sumber : Sinar Harian