Setelah usaha mencari temui jalan buntu, IGP rayu Sajat serah diri

Setelah usaha mencari temui jalan buntu, IGP rayu Sajat serah diri

“Baliklah dan hadir ke mahkamah!” Itu pesan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang menghilangkan diri sejak waran tangkap ke atasnya dikeluarkan 23 Februari lepas.

Abdul Hamid berkata, pihak polis masih mengesan lokasi sebenar selain terdapat kekangan di sempadan kerana kewujudan banyak lorong-lorong tikus.

“Belum ada apa-apa lagi, dia masih lagi bersembunyi. Kalau dia nak ‘upload’ dia punya aktiviti dia di luar, kita tunggulah. Jerat tidak akan melupakan pelanduk, dia akan balik.

“Saya hairan, dia tidak berhadapan dengan satu hukuman yang boleh dipenjarakan 20 tahun atau dihukum gantung. Baliklah dan hadir ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seksyen K9 Langkawi Bahagian Bantuan Teknik D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini pada Ahad yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan.

Terdahulu, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah berkongsi maklumat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi itu berada di luar negara. Malah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) turut mengedarkan gambar Sajat di sepanjang pos kawalan keselamatan bagi memastikan dia tidak dapat bolos ke negara jiran.- Bernama