Setiap banduan perlu menjalani rawatan di hospital kerajaan, KJ ulas dakwaan Shafee
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyangkal dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menerima rawatan.
Menurutnya, setiap banduan perlu menjalani rawatan di hospital kerajaan berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan.
“Prosedur banduan adalah dirujuk ke hospital kerajaan dan bagi kes Najib, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memutuskan beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya, seperti dilapor Sinar.
Khairy berkata demikian mengulas mengenai laporan bekas Perdana Menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun akan dirujuk ke IJN selepas dimasukkan ke HKL pada Isnin.
Sebelum ini, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan anak guamnya kemungkinan dihantar ke IJN.
IJN merupakan sebuah entiti swasta atau badan dikorporatkan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.
Setiap pusat perubatan termasuk IJN adalah berdaftar di bawah Akta 586.