Setuju perjanjian CSA, Puad kecewa Ismail sendiri mungkir arahan ‘No Anwar’ ‘No Dap’

Setuju perjanjian CSA, Puad kecewa Ismail sendiri mungkir arahan ‘No Anwar’ ‘No Dap’

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata persetujuan Pakatan Harapan (PH) untuk menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, bermakna slogan “No Anwar No DAP” sudah tidak lagi relevan.

Puad Zarkashi berkata, dengan termeterainya CSA berkenaan yang dijangka dibulatkan dalam tempoh terdekat, permintaan PH sudah tentu akan dipenuhi dan diterima tanpa syarat.

“Pada yang terkedu sudah tentu cuba menegak benang basah. Mereka akan kata, tidak sama kerana DAP dan PKR tidak diberi sebarang jawatan eksekutif dalam kerajaan.

“Tidak ada bezanya. Tidak ada jawatan menteri pun, kalau semua kehendak PH diterima dan menjadi dasar kerajaan, maka itu sudah lebih dari cukup,” katanya dalam kenyataan.

Puad mendakwa, PH dikatakan menolak untuk bersama dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin.

“Mereka tidak mahu duduk di bawah Muhyiddin yang mereka tolak sampai terpaksa letak jawatan. Mereka menuntut ditubuh jawatankuasa pemantau terhadap MPN.

“Maksudnya, PH mengawal keberkesanan MPN. Dengan kata lain parti menguasai kerajaan boleh dibuat dengan berbagai cara,” katanya.

Hasil daripada CSA berkenaan, Puad berkata PH akan “kenduri besar” kerana mendapat peruntukan dan kemudahan lain sama seperti Ahli Parlimen kerajaan.

“Dalam masa sama, ‘No Anwar, No DAP’ akan dilupakan,” katanya.

Slogan “No Anwar, No DAP” bergema dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) pada Mac lalu apabila Presiden Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti untuk menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam perhimpunan berkenaan, Umno turut menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu selepas Parlimen dibubarkan.

Semalam, Majlis Presiden PH mengumumkan bahawa gabungan itu cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman dengan kerajaan Ismail.

PH berkata memorandum persefahaman itu adalah susulan kepada pertemuan yang diadakan di antara pimpinan tertingginya dengan Ismail pada 25 Ogos lalu.

PH berkata pertemuan turut diadakan semalam di antara wakil PH dan wakil perdana menteri.

Wakil perdana menteri terdiri daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Manakala wakil PH terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

“Pertemuan semalam membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik Covid-19,” menurut kenyataan berkenaan.

Sumber – FMT