Shafee dakwa Najib boleh kembali menjadi PM

Shafee dakwa Najib boleh kembali menjadi PM

 

Datuk Seri Najib Tun Razak masih boleh diangkat semula sebagai Perdana Menteri jika beliau diberikan pengampunan, seperti mana pengalaman yang dilalui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu bagaimanapun bergantung kepada pelbagai proses terutama pengampunan diraja, menurut peguam terkemuka Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

“Soalan itu saya rasa mungkin telah terjawab dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim (sebagai Perdana Menteri). Kalau dapat satu pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, apa-apa perkara pun boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Rakyat Bangkit: Pulangkan Datuk Seri Najib’ di sini hari ini, ketika menjawab soalan peserta yang bertanyakan adakah Najib masih boleh diangkat semula sebagai Perdana Menteri.

Semasa sesi pembentangan beliau juga, Muhammad Shafee turut membacakan antara kandungan mengapa Najib memohon mendapatkan pengampunan diraja, adalah kerana bekas Perdana Menteri itu mendakwa dirinya tidak diberikan peluang sepenuhnya dalam perbicaraan rayuan.

Beliau merupakan individu utama dalam pasukan peguam bela Najib turut menceritakan semula perjalanan mahkamah bekas Presiden UMNO itu yang akhirnya dikekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Program yang diadakan itu dihadiri lebih 700 orang dan menjadi rantaian rantaian oleh penganjur untuk mengumpulkan tandatangan sebagai menyokong Najib.

Menurut penyelaras program, Farhan Khairuddin, program yang diadakan di Ipoh itu merupakan penganjuran kedua selepas dibuat di Kuala Lumpur.

Jelasnya, ia dibuat bagi tujuan mendengar pandangan rakyat tentang keadaan negara dan Najib.

“Bila kita pergi dan minta petisyen dan bercakap dengan mereka, ada keperluan mendesak. Orang sudah semakin faham apa yang berlaku kepada Najib tentang soal ketidakadilan terhadapnya,” dakwanya.

Sempena program yang dianjurkan itu juga, penganjur turut mengumpulkan tandatangan sokongan daripada peserta dan seterusnya mahu menghantar petisyen tersebut kepada Istana Negara.

Najib kini sedang menghadapi perbicaraan penyelewe­ngan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).