Shafie beri bayangan Mazlan Bujang bakal ketuai Warisan Johor

Shafie beri bayangan Mazlan Bujang bakal ketuai Warisan Johor

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal hari ini mengesahkan khabar angin berhubung bekas pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang dijangka menyertai Warisan dalam tempoh terdekat.

Ini selepas Mazlan menyatakan hasrat bagi membantu kempen Warisan sempena PRN Johor akan datang.

Januari lepas, Mazlan yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa mengumumkan keluar daripada Bersatu, namun tidak menyertai mana-mana parti ketika itu serta menyatakan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Warisan memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Menurut Shafie, bagaimanapun berkata jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi parti itu, belum dimuktamadkan.

“Ia (jumlah kerusi DUN) akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Warisan Johor di sebuah restoran, di Johor Bahru malam tadi yang dilaporkan portal MalaysiaNow.

Ditanya sama ada Warisan bergerak solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti lain bagi PRN Johor, ahli Parlimen Semporna itu berkata fokusnya ketika ini adalah untuk parti itu mendekati rakyat.

“Namun, perkara ini (solo atau kerjasama dengan parti lain) akan dilihat mengikut keadaan…ingin kita dampingi ialah mereka yang menentukan siapa yang memerintah bukan sahaja Johor, bahkan Malaysia,” kata beliau.

Pada majlis itu, Shafie turut mengumumkan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Suhaimi Salleh, sebagai ketua koordinator Warisan Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac.