Shahidan nasihatkan penduduk KL pindah awal sebelum banjir, netizen pula cadang mangsa duduk terus di pusat mengundi
Penduduk di kawasan berpotensi banjir di Wilayah Persekutuan disaran untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dua hari lebih awal dari tarikh jangkaan berlaku banjir.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, tindakan itu dilakukan agar dapat meminimumkan penggunaan aset terutamanya bot, dan kenderaan berat semasa proses perpindahan dijalankan.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat Wilayah Persekutuan bersetuju pada dasarnya, (mangsa banjir) akan berpindah dua hari sebelum banjir dan balik ke rumah masing-masing, dua hari selepas banjir,” katanya dalam rakaman video mengenai kesiapsiagaan jawatankuasa itu dalam menghadapi banjir di Wilayah Persekutuan.
“Apabila banjir surut, kita akan benarkan mereka (mangsa banjir) berada di PPS selama dua hari lagi untuk memastikan supaya rumah yang mereka balik itu telah dicuci dan selamat diduduki,” tambahnya, seperti dilapir Bernama.
Dalam usaha memberi keselesaan kepada mangsa banjir, Shahidan berkata, bilik air baharu juga akan dibina di semua PPS di Wilayah Persekutuan sebagai tambahan kepada bilik air sedia ada.