Shahrir Samad anggap PRN Melaka medan menguji kekuatan PN + Pas

Shahrir Samad anggap PRN Melaka medan menguji kekuatan PN + Pas

Shahrir Samad, bekas MKT UMNO menganggap PRN Melaka akan datang merupakan ujian pertama di Semenanjung bagi gabungan politik Perikatan Nasional (PN).

Dalam hantaran di FBnya, dia menulis situasi PN yang telah melalui PRN Sabah dengan jayanya apabila jawatan Ketua Menteri disandang oleh ketua PN negeri itu dalam sebuah kerajaan negeri campuran bersama BN.

Menurutnya, jika PRN Sabah dijadikan pengajaran, kerajaan Warisan yang membubarkan DUN Sabah untuk tujuan diadakan PRN tidak dapat kembali berkuasa.

Selain itu katanya, PN juga tidak mempunyai rekod prestasi dalam mana-mana pilihanraya sebelum PRN Sabah itu. Mereka sebaliknya mempunyai wakil-wakil rakyat UMNO dan BN yang melompat ke PPBM selepas PRU14.

Tambahnya lagi, di Melaka juga PN yang diketuai PPBM tidak terkenal pada PRU 14. Malah PPBM turut bertanding atas lambang PKR dan berada dalam PH ketika itu sementara PAS pula bertanding atas lambang sendiri.

Di PRN akan datang katanya, BN akan berdepan dengan PN yang sememangnya bercita-cita untuk menjadi ganti kepada BN.

Di pusat pula, jawatan PM dipegang oleh pemimpin BN. Menteri-menterinya adanya datang dari kalangan pemimpin PN. Di kalangan menteri-menteri PN akan ada juga ahli parlimen ‘katak’ iaitu Mas Ermieyati yang melompat ke PPBM selepas PRU14.

Semasa PRN Melaka, dia menjangkakan bakal berlaku pertembungan diantara musuh politik lama – BN, PKR, DAP dan PAS – dan dengan yang baru – PPBM, dan kemungkinan gabungan baru PN (PPBM + PAS + Gerakan).

Justeru katanya lagi, PN sudah tentu tidak akan mahu berpandu kepada keputusan dan corak pengundian pada PRU14 kerana yang mereka boleh guna sebagai panduan ialah undi yang diterima PAS, iaitu jumlah diantara 9% ke 17% sebagai pilihan ketiga dalam semua pertandingan tiga penjuru.

Apa yang lebih menarik tambahnya, PRN Melaka bakal menyaksikan menteri BN berkempen diatas pentas berbeza dari rakan sejawatan dalam Jemaah Menteri.

Menurut andaiannya, PN tentunya lebih berharap kepada peranan menteri-menterinya kerana pada PRU14, PPBM pun menang 2 kerusi ketika bersama PH. Maka Mas Ermieyati akan jadi ‘poster girl’ untuk PN dan PPBM sebagai bukti nyata tentang ‘keburukan UMNO/BN’.

Menutup tulisannya, dia sempat melemparkan sindiran dengan mengatakan hanya DS Shahidan sahaja yang boleh merasa selesa dalan keadaan sebegini.

#PRNegeriMelaka
#UMNOsebuahPerjuangan