Shila Amzah dan Ubai akhirnya mengaku sedang bercinta

Shila Amzah dan Ubai akhirnya mengaku sedang bercinta

 

Spekulasi hubungan cinta penyanyi Shila Amzah dan pempengaruh media sosial, Ubai Mz akhirnya terjawab apabila mereka tampil memberi penjelasan.

Menerusi sesi siaran langsung dalam akaun TikTok, Ubai mengakui, mula menyukai Shila sejak berusia 13 tahun sebagai peminat.

Namun, katanya, dia mula mendekati Shila ketika penyanyi mencipta nama di Tembok China itu berada dalam fasa kecewa akibat kegagalan rumah tangga.

“Saya suka dekat Shila sejak tingkatan satu pada 2011. Saya ‘follow’ Shila di Twitter.

“Dipendekkan cerita, saya mula mendekati Shila pada ketika berada di fasa sangat-sangat bawah.

“Masa itu, Shila baru bercerai dan tiada siapa-siapa. Waktu itu, Shila menangis dalam live TikTok.

“Saya rasa ‘budak ni sakit’, jadi saya mendekatinya. Saya sentiasa ada untuknya ketika susah dan sedih. Begitu juga saya sering menenangkan Shila,” kata Ubai.

Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, 33, menjelaskan hubungannya dengan Ubai atau Ubaidillah, 25, direstui ahli keluarga.

“Ibu bapa dan adik-beradik saya okay dengan Ubai. Jangan cakap hubungan ini tidak direstui sebab sebelum itu, mungkin ada sebab jika orang tidak sukakan?

“Tetapi, untuk kali ini saya boleh buat keputusan sendiri, jadi jangan risau,” jelas Shila.

Mengenai perbezaan jarak umur, Shila berkata, dia bukan suatu faktor penting kerana pernah menjalinkan hubungan dengan lelaki lebih berusia, namun tidak berpanjangan.

“Sebenarnya Ubai masih muda, tetapi bekas kekasih saya muda juga. Jadi, saya okay mungkin bukan faktor usia kerana saya pernah cuba dengan seseorang lebih tua, tetapi tidak boleh.

“Sudah lama selesa dengan Ubai. Suatu hari ada sesuatu berlaku menyebabkan saya terfikir.

“Alkisahnya, cinta kami bermula dengan skuter. Jadi, di situlah kisahnya, jadi doakan yag baik-baik,” tutur mereka sebelum menamatkan sesi live.

Terdahulu, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan apabila bercerai pada Februari 2022.

Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia dua tahun.