Shila Amzah tak masuk campur kemelut rumah tangga ibubapanya

Shila Amzah tak masuk campur kemelut rumah tangga ibubapanya

 

PENYANYI Shila Amzah memilih untuk tidak masuk campur atau menyebelahi mana-mana pihak berhubung kemelut rumah tangga ibu bapanya.

Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 33, percaya, dia harus bersikap terbuka mengenai keputusan ibu bapanya yang memilih untuk berpisah selepas 34 tahun berkahwin.

“Bagi saya jodoh, ajal , pertemuan dan perpisahan adalah urusan Allah. Sebagai anak yang telah dewasa apabila ibu bapa buat keputusan (bercerai), itulah perkara yang terbaik buat mereka. Tidak perlu untuk dipersoalkan lagi.

“Tambahan kami adik-beradik semua sudah dewasa dan memiliki kehidudan sendiri. Tidak wujud isu berpihak kepada siapa atau hendak ikut siapa selepas ibu bapa bercerai,” katanya kepada Kosmo! Online di sini.

Shila berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan dengan bapanya, Datuk ND Lala selepas bercerai dengan ibunya, Fauziah Sarman pada Ogos lalu.

Tambah Shila, dia memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan ketika isu perceraian ibu bapanya hangat diperkatakan kerana sedar lambat laun isu tersebut akan reda dengan sendirinya.

Bahkan kemelut rumah tangga ibu bapanya sedikitpun tidak menjejaskan kehidupan mereka adik-beradik.

“Apa sahaja yang terjadi dalam keluarga, ibu dan bapa khususnya saya biarkan mereka uruskan semuanya sendiri.

“Tidak perlu saya keluarkan kenyataan kerana saya yakin lambat laun perkara ini (kemelut rumah tangga ibu bapa) reda juga.

“Cuma anasir luar ini yang lebih banyak menganggu, tetapi saya memang tidak mahu ambil peduli, lantaklah mereka. Saya yanga mahu hidup tenang-tenang sahaja,” ulas Shila lagi.

Dalam pada itu, Shila bakal bergandingan dengan adik lelakinya iaitu Amir Syahir, 28, menerusi program realiti Famili Duo musim ketiga yang bakal menemui penonton bermula 15 Oktober ini.

Pemilihan Syahir sebagai pasangannya dalam program tersebut berbanding adik-beradik yang lain menurut Shila, kerana hubungan mereka yang akrab dan serasi.

Biarpun sedar vokal adiknya tidaklah sehebat penyanyi lain, Shila mengambil cabaran tersebut dengan memikul tanggungjawab sebagai peserta selain mentor kepada adiknya sendiri.

“Saya pilih Syahir kerana kami senang untuk berkomunikasi selain mahu memberi kelainan daripada segi persembahan. Dia memang tidak pernah masuk sebarang pertandingan, ini pentas pertamanya, banyak yang perlu dia belajar. Sebagai kakak dan penyanyi, saya juga perlu memberi banyak tunjuk ajar kepadanya seperti seorang mentor,” kata Shila.

Ujar Shila lagi, dia dan Syahir sengaja merahsiakan penyertaan dalam program ini daripada pengetahuan keluarga kerana mahu memberi kejutan.

“Kami tidak beritahu sesiapa pun termasuk Mama, saja nak bagi kejutan,” tutur Shila sambil ketawa.

Peserta lain yang turut menyertai program Famili Duo adalah, Adira dan Emma Suhaimi (adik-beradik), Fuad Rahman dan Tom (suami isteri), Ryan Bakery dan Adam Bakery (adik-beradik) serta Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (sepupu).

Satu pasangan duo masih dirahsiakan identiti mereka dan hanya akan diumumkan pada minggu perama pertandingan itu nanti.

Famili Duo sebanyak lapan episod itu akan diterajui oleh Janna Nick dan Izzue Islam sebagai hos, manakala komposer Ajai dan penyanyi Mas Idayu dipilih sebagai juri tetap.

Famili Duo musim ketiga akan menemui penonton bermula 15 Oktober ini, pada setiap Ahad, pukul 9 malam di TV3 dan Tonton.