‘Shopping’ karpet di Nilai, Neelofa dan suami tuntut AGC gugurkan tuduhan
Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal Mei lepas.
Memurut MalaysiaGazette, peguam yang mewakili pasangan itu, Wan Aizuddin Wan Mohamed berkata representasi itu dikemukakan semalam bagi memohon AGC mempertimbangkan untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sebutan semula kes itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh hari ini.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 1 Dis depan.
Pada 20 Mei lepas, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lepas.
Pasangan itu berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lepas.
Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.