‘Shuib lelaki, mana boleh tahan lama-lama’

‘Shuib lelaki, mana boleh tahan lama-lama’

 

Pelakon dan usahawan, Zarina Zainuddin berharap orang ramai tidak mempertikaikan tindakan pelawak Shuib yang menjalinkan hubungan rapat dengan seorang usahawan, Watie Hanifiah sejak beberapa bulan lalu.

Menerusi satu komen ditinggalkan di laman Instagram sebuah portal, pelakon berusia 52 tahun itu berkata, Shuib yang juga penyampai radio Suria FM sudah tentu memerlukan kebahagiaan selepas pemergian isteri tercinta, Siti Sarah Raissuddin.

“Biarlah orang tu nak kahwin, dia lelaki mana boleh tahan lama-lama. Kesian dia, pembantu rumah boleh cari jaga anak-anak. Dia pun nak bahagia jugak… takkan nak murung sepanjang hidup,” tulisnya semalam.

Portal tersebut melaporkan tentang Shuib yang mempunyai perancangan untuk membawa hubungan bersama Watie ke fasa seterusnya, tetapi belum menetapkan masa sesuai.

Dalam laporan sama, bapa tunggal kepada empat cahaya mata itu mengakui tertarik dengan sikap penyayang Watie kerana mempunyai ciri-ciri seperti arwah isterinya yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Untuk rekod, Shuib dan Sarah berkahwin pada 2011 dan dikurniakan empat anak iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan, 2.