Siar ‘live’ perlawanan persahabatan secara haram, pemuda PAS Terengganu undang kecaman netizen

Siar ‘live’ perlawanan persahabatan secara haram, pemuda PAS Terengganu undang kecaman netizen

Tindakan Pemuda PAS Kuala Terengganu menyiarkan perlawanan pra-musim pasukan Terengganu secara haram di akaun Facebook rasminya telah mengundang kecaman dan kritikan beberapa pihak.

Sudah menjadi kebiasaan untuk pasukan Liga Malaysia (Liga-M) membuat siaran langsung berbayar atau pay-per-view (PPV) bagi perlawanan pra-musim untuk menjana sumber pendapatan pasukan.

Penyokong yang tinggal jauh atau tidak berkesempatan untuk hadir ke stadium masih berpeluang untuk menonton perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka menerusi pembelian tiket secara maya.

Tidak ketinggalan adalah pasukan Terengganu yang melantik syarikat produksi Balrz.tv untuk menjadi penyiar rasmi perlawanan persahabatan pra-musim melibatkan pasukan dari pantai timur berkenaan.

Untuk perlawanan menentang Melaka United pada Khamis, harga yang dikenakan untuk mendapatkan akses tontonan secara dalam talian hanyalah RM7.90.

Bagaimanapun, Pemuda PAS Kuala Terengganu telah menyiarkan perlawanan tersebut secara haram menerusi akaun Facebook mereka yang membolehkan individu-individu lain dapat menonton secara percuma tanpa membayar akses PPV.

Tindakan tersebut ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak termasuklah pengamal media dan penyokong setia skuad Penyu kerana ia memberikan kerugian kepada syarikat penyiar dan pasukan sendiri.

“Terbaik perangai geng Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat. Ambik live orang, buat live lain pulok. Terbaik. Buat gini kita dok halal. Sbb kita hok keroh tenaga, bayor crew lagi,” ujar Hafiz Zaidi.

“Sek mu sedap je buat live lain. Dok haram ke gitu? Pahtu kekgi mitok maaf? Bukan sekali buat gini. Dulu ada dh buat gini. Pahtu mitok maaf.”

Bagaimanapun di dalam komen-komen hantaran itu masih ada individu yang mungkin pentaksub parti politik berkenaan yang mempertahankan tindakan mencuri siaran langsung dengan mendakwa penyiar perlawanan itu hanya menggunakan ‘modal suara’ semata-mata.

Lantas ia terus dijawab oleh penulis Vocket FC, Dito yang menegaskan modal untuk membuat siaran langsung bukanlah murah kerana melibatkan peralatan berharga ribuan ringgit serta memerlukan pembayaran kepada krew yang terlibat.

Berdasarkan jumlah penonton yang dianggarkan sekitar 1,600 orang menerusi siaran haram tersebut, ada yang mencadangkan agar pihak penyiar membuat tuntutan kepada Pemuda PAS Kuala Terengganu sebanyak RM12,640, berdasarkan harga PPV yang bernilai RM7.90.

“Kalau tengok pada kiraan 1,600 orang hok [yang] tengok tu, 1600 x RM7.90 = RM12,640 hilang potential income. Mungkin 10% je hok sanggup bayor, 160 x RM7.90 = RM1,264 jugok rugi. Jangang ah jadi macam Yahudi hok sanggup buat apa saja demi keuntungan sama ada in cash or popularity.”

Dari sudut undang-undang ia jelas bersalahan. Malah dalam agama juga, penyiaran siaran haram ini telah pun dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah.

“Tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang. Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.

Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.

Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.

Surah al-Baqarah (188)

Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.

Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5[2]; Fiqh Nawazil 165/2[3])

Sumber – Semuanya Bola