Siasatan ajaran Agama Melayu yang dibawa Ibu Yati hampir selesai – Marzuk
Siasatan terhadap ajaran “agama Melayu” yang dipercayai menyeleweng dibawa seorang wanita bergelar Ibu Yati kini di peringkat akhir, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary.
Katanya siasatan berkenaan dijangka akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Menurut Ahmad Marzuk, siasatan kes tersebut dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan tindakan lanjut akan diumumkan nanti.
“Sekiranya siasatan mendapati ada kes penyelewengan (atau) ajaran sesat, Jais akan mengambil tindakan lanjut termasuk proses pendakwaan di mahkamah.
“Siasatan hampir selesai dan dalam masa terdekat kita akan buat pengumuman,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) di Hospital Tumpat, Kelantan, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran ‘agama Melayu’ berkenaan.
Nasrudin berkata, pihak berkuasa agama Islam sedang menyiasat perkara itu dan bakal mengambil tindakan sewajarnya.
Susulan itu Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, menafikan dakwaan tersebut. Malah dia memberi tempoh tujuh hari kepada Nasrudin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.
Ahmad Marzuk juga menggesa orang ramai supaya tidak cepat menghukum mana-mana individu berdasarkan video yang tular di media sosial.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat untuk menghukum seseorang individu berdasarkan video yang tular.
“Sebaiknya perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk menyiasat perkara itu.
“Ini kerana soal penyelewengan akidah hanya boleh dinilai pihak tertentu, bukannya semua orang boleh tentukan,” katanya yang juga anggota parlimen Pengkalan Chepa. – MK