Sidang Dewan Rakyat dipendekkan hanya empat jam sahaja bermula esok

Sidang Dewan Rakyat dipendekkan hanya empat jam sahaja bermula esok

[DIKEMAS KINI] Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Koronavirus (Covid-19) semalam memutuskan tempoh persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada jam 10 pagi akan dipendekkan ke jam 2 petang mulai Isnin ini sehingga 15 Disember depan.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh beliau itu turut dihadiri Ketua-ketua Whip parti.

“Sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari jam 10 pagi hingga 11 pagi.

“Pada hari Selasa dan Khamis, sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan ialah selama 55 minit dari jam 11 pagi. Hanya satu soalan tambahan dibenarkan dan soalan tambahan tersebut mestilah seringkas boleh.

“Waktu pertanyaan menteri-pertanyaan menteri (MQT) pula akan dilaksanakan setiap Selasa dan Khamis selama lima minit dari jam 10 pagi. Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan akan membacakan soalan beliau dan Yang Berhormat Menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama. Soalan akan disiarkan di portal Parlimen secepat mungkin,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pemasyhuran beliau itu dibaca oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selama lapan hari iaitu mulai 9 hingga 19 November.

Katanya, jawapan menteri di peringkat dasar kekal selama tiga hari iaitu pada Isnin, 23 hingga 25 November.

“Perbahasan di peringkat jawatankuasa selama 11 hari iaitu mulai 30 November hingga 15 Disember,” katanya.

Jelasnya, jumlah hari persidangan Mesyuarat Ketiga itu juga boleh ditambah sebanyak dua hari lagi iaitu 16 dan 17 Disember sekiranya diperlukan.

Sumber: Sinar Harian