Sidang DUN: Sanusi belum dapat ilham, tunggu parlimen bersidang dahulu

Sidang DUN: Sanusi belum dapat ilham, tunggu parlimen bersidang dahulu

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hanya akan diadakan selepas Parlimen bersidang, kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, lazimnya persidangan DUN Kedah diadakan pada Julai atau Ogos, namun kali ini berdepan kekangan akibat penularan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, pihaknya tidak dapat melaksanakan persidangan buat masa ini kerana terikat dengan Ordinan Darurat.

“Berdasarkan ordinan itu, pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan DUN tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Sanusi berkata, pihaknya akan meneliti dan merujuk kepada format dan SOP Parlimen terlebih dahulu sebagai panduan sebelum diadakan di peringkat negeri.

“Walaupun persidangan Parlimen belum dipastikan akan bersidang, kita akan adakan sesi sidang DUN Kedah selepas Parlimen bersidang. Secara semuka atau maya, kita tunggu perkembangan semasa,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan juga persidangan hanya melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan tanpa kehadiran pemerhati, namun persidangan boleh diadakan secara langsung di Facebook rasmi kerajaan negeri.

Kali terakhir persidangan DUN Kedah diadakan pada 15 hingga 19 Nov 2020, ketika Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021. Ia dilakukan dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada Jumaat, Pakatan Harapan (PH) Kedah menggesa Sanusi menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan segera bagi memohon perkenan pembukaan semula persidangan DUN.

Dalam kenyataan bersama oleh Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul, Pengerusi Amanah Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew, perkara itu selaras titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu bahawa persidangan Parlimen dan DUN perlu diadakan secepat mungkin.

Sumber : FMT