Sidang media hari ini hanya ada Aliff Aziz, Sophia AlBarakbah tak munculkan diri

Sidang media hari ini hanya ada Aliff Aziz, Sophia AlBarakbah tak munculkan diri

 

Pelakon Sophia AlBarakbah tidak muncul pada saat-saat akhir dalam sesi sidang media drama bersiri terbaharunya, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan wakil produksi yang dikenali Farid yang memberitahu ketidakhadiran Sophia adalah berpunca daripada pertukaran jadual.

“Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana heroin drama Ku Akad Kau Dengan Bimillah tidak dapat hadir dan sedang menjalani penggambaran di Subang, Selangor.

“Sophia terpaksa menyelesaikan penggambaran yang masih berbaki sebelum dia berangkat ke Jakarta, Indonesia pada esok.

“Saya faham perkara ini tidak sepatutnya berlaku namun babak membabitkan Sophia perlu teruskan juga demi memastikan kelancaran penggambaran drama ini,” katanya.

Dalam pada itu, ketidakhadiran bintang filem Mimaland itu pada sesi sidang media hanya dimaklumkan kurang 15 minit sebelum majlis bermula.

Malah hero drama berkenaan Aliff Aziz sudah muncul lebih awal dan bersikap profesional apabila menepati janjinya.

Kira-kira 20 media hadir bagi mempromosikan drama arahan Osman Ali itu sekali gus berharap agar kedua pelakon tersebut menjawab isu kontroversi membabitkan mereka.