Sidang parlimen segera, kerajaan terus berteka-TAKI laksana titah Agong

Sidang parlimen segera, kerajaan terus berteka-TAKI laksana titah Agong

Penganalisis politik, Azmi Hassan memberitahu FMT, beliau nampak “tiada keinginan” untuk memberi respons terhadap apa yang disifatkan beberapa pemerhati sebagai “dekri” dari Istana Negara.

Beliau mempersoalkan sama ada Perikatan Nasional “masih memikirkan apa yang perlu dilakukan”.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu atas kenyataan mereka serta mengumumkan rancangan untuk menamatkan darurat.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan mungkin “membuat kesilapan kelakar” dengan berkata Agong tidak menyatakan secara khusus bila Parlimen patut bersidang semula.

“Kenyataan sedemikian tidak kelihatan betul,” katanya sambil menambah ia boleh menyebabkan ramai rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu di luar bandar, menolak kerajaan.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu percaya ada ramai yang marah terhadap kerajaan atas dakwaan gagal membendung Covid-19.

“Ramai yang merasakan istana mewakili suara mereka. Kerajaan mungkin bingung dengan kenyataan menteri undang-undang.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kerajaan menunjukkan kurangnya keinginan untuk melakukan pembaharuan yang dicadangkan Agong.

“Ia patut bersemangat dengan reaksinya dan bertindak segera atas nasihat yang diberikan Agong serta Raja-raja Melayu.”

Katanya, kerajaan harus memberikan komitmen yang ia bersetuju dengan Agong serta Raja-raja Melayu dan akan menamatkan darurat yang dijadualkan pada 1 Ogos ini.

Rabu lalu, Raja-raja Melayu berkata, tiada keperluan darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan Agong menasihatkan kerajaan untuk Parlimen bersidang semula secepat mungkin.

Awang Azman memberi amaran sebarang penangguhan oleh kerajaan akan menyebabkan kemarahan orang ramai semakin meningkat.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kerajaan perlu “membelanjakan wang” untuk bantuan bagi mengekang kemarahan orang ramai yang semakin meningkat.

“Tetapi, ia tidak mempunyai banyak wang seperti dahulu,” katanya merujuk kenyataan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada April lalu yang mengakui krisis Covid-19 menyebabkan kerajaan tidak mempunyai banyak wang.

Oh berkata, ini mungkin menyebabkan pengundi Melayu menyokong Umno dengan harapan untuk kembali kepada “zaman dahulu apabila Umno akan menjaga mereka”.

Sumber : FMT