Sikap mahu menjadi ‘abang besar’ punca Muafakat Nasional bermasalah – Hadi

Persepakatan Muafakat Nasional antara dua parti terbesar Melayu, Pas dan UMNO dianggap telah berkubur.

Hubungan yang dilihat semakin renggang selepas kedua-dua parti itu duduk bersama-sama di dalam pentadbiran kerajaan persekutuan menerusi ‘Langkah Sheraton’ ketika itu.

Meskipun hayat gabungan itu dijangka bertahan lama oleh penganalisa politik, memandangkan Hadi yang dikenali begitu memusuhi UMNO satu masa dahulu sehinggakan munculnya ‘Amanat Haji Hadi’ yang mencetuskan Peristiwa Memali selepas itu, sanggup menerima UMNO sebagai sekutunya bagi bersama-sama memperjuangkan kewujudan ‘Kerajaan Melayu Islam’.

Namun musuh-musuh politik Pas – UMNO mulai dapat menghidu keretakan hubungan sesama mereka selepas Pas lebih menyebelahi Bersatu daripada UMNO dari segala perkara dalam pentadbiran Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

PRN Melaka menonjolkan lagi keretakan yang makin membarah, sehinggakan Pas membuat keputusan memilih bertanding menggunakan logo PN, bukannya MN. UMNO semakin terluka apabila dituduh parti yang ekstrem oleh Hadi sebagai justifikasi partinya memilih PN.

Terkini, Hadi mengulang semula buat kesekian kalinya kenapa Pas menolak gagasan Muafakat Nasional (MN). Ini jelasnya kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Hadi berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun malangnya apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN, tambahnya lagi seperti dilaporkan Utusan Online.

“Bermakna ini sudah lari daripada perjanjian, ini tak betul sedangkan kita berpegang pada perjanjian. UMNO mahu Pas dan parti mereka sahaja dalam MN.

“UMNO tak boleh mengarahkan Pas kerana Pas parti tersendiri. Nak suruh Pas dengan UMNO sahaja (dalam MN) tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain, kita sudah tetapkan tarikh nak berjumpa dengan Bersatu dan parti lain, bahkan nak terima Bersatu masuk MN.

“Pas terbuka tetapi malangnya dia (pimpinan UMNO) nak Pas dengan UMNO sahaja, jadi tak bolehlah, Pas tak boleh diarah, Pas parti tersendiri, Pas bukan di bawah BN (Barisan Nasional),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, dalam ucapannya di majlis tersebut, Abdul Hadi berkata, Pas akan melawan sesiapa sahaja jika ada pihak yang degil walaupun pihak berkenaan mempunyai kekuatan.

“Siapa pihak yang degil itu? Kita akan lihat nanti, tapi satu contoh sudah berlaku di Melaka (PRN) apabila UMNO degil kita lawanlah.

“Dalam PRU-15 nanti tak tahu lagi. Boleh jadi UMNO kena fikir balik kerana dalam PRN Melaka undi kepada UMNO tak naik, undi ditakuk lama, bagaimana kalau semua keluar habis mengundi? Jadi dia (UMNO) kena fikir baliklah,” katanya.