Sikap “No DAP No Anwar” tidak harus jadi pendirian muktamad Umno
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan bahawa sikap “No DAP no Anwar” (tidak DAP dan tidak Anwar) yang dipegang Umno, tidak harus menjadi pendirian muktamad.
“Saya rasa itu (pendirian) sentimen tebal sahaja. Bagi saya dalam politik itu semua tak diambil kira, yang penting rakyat, rakyat mesti diambil kira.
“Kalau masalah itu memerlukan kita sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada kepada rakyat, maka itulah yang didahulukan.
“Soal kita dengan DAP, kita sebagai pemimpin mesti bijak, bijak menguruskan, bijak membahagikan kuasa, bijak menentukan dan memantau apa yang boleh diberi dan dilakukan oleh rakan (politik) kita.
“Jadi, kalau kita menguasai keadaan, saya rasa itu tak menjadi perhitungan. Yang penting, rakyat,” katanya dalam bual bicara mengenai masa depan Malaysia di Kajang anjuran Majlis Profesor Negara hari ini.
Dia menjawab demikian ketika disoal penonton apakah naratif politik “No DAP no Anwar” yang dipegang Umno itu masih bersesuaian dengan situasi politik negara.
Sebelum ini, pandangan senada pernah disuarakan Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang menyifatkan slogan itu tak semestinya relevan setiap masa kerana perubahan senario politik.
Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed pula berkata kerjasama dua seteru itu mungkin bukan idea buruk.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN Annuar Musa pula pernah berkata wujud konspirasi di dalam Umno yang mahu mengubah pendirian berkenaan tidak lama selepas wujud spekulasi berkenaan kemungkinan kerjasama antara Umno dan DAP di Perak.
Umno berdepan perselisihan dalaman parti berhubung kerjasama dengan Bersatu – parti serpihannya sendiri.
Meskipun sebahagian pemimpin parti, termasuk Annuar dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilihat selesa dengan kerjasama itu, sebahagian lagi dilihat seolah-olah mahu kerjasama itu segera berakhir.
Antara isu yang sering dibangkitkan pihak penentang kerjasama itu ialah soal agihan kerusi. Ini kata mereka, kerana Bersatu dan Umno serta sekutu mereka PAS merebut demografi pengundi Melayu Islam yang sama.
Keadaan lebih rumit buat Bersatu dan Umno, memandangkan Umno hilang banyak kerusi parlimen yang dimenangi atas tiket mereka pada PRU-14 lalu, apabila ahli-ahli parlimennya keluar menyertai Bersatu.