Sila tanya CEO EGMS berkenaan Vellfire VDC 2828 – Maszlee

Sila tanya CEO EGMS berkenaan Vellfire VDC 2828 – Maszlee

Maszlee Malik mendedahkan bahawa kereta Toyota Vellfire yang didakwa diberikan padanya ketika berkhidmat ialah milik Education Malaysia Global Service (EMGS) – agensi milik Kementerian Pengajian Tinggi.

Bekas menteri pendidikan itu bagaimanapun berkata ia dipulangkan semula selepas dia tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan.

“Fitnah kononnya saya diberikan Vellfire nombor 2828. Itu milik EMGS agensi KPM (sekarang KPT) yang digunakan sewaktu saya menteri.

“Hari saya berhenti, kereta itu dipulangkan dan terus digunakan oleh CEO EMGS,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Menulis di Twitter hari ini, Maszlee bagaimanapun sempat berjenaka dengan berkata “kenderaan rasminya” sekarang ialah sebuah kereta sport mewah British.

“Kenderaan rasmi saya MYVI, dan terkini ‘Aston Martin’,” selorohnya.

Maszlee turut berkongsi gambar ubah suai menampilkan kepalanya ditampal pada badan seorang individu yang bergambar dengan kereta itu.

Aston Martin boleh mencecah harga sehingga jutaan ringgit, mengikut model dan tahun.

Sebelum ini, sekeping gambar Vellfire putih dengan plak “Menteri” di atas plat lesen beredar di media sosial. Kenderaan itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia turut disiasat berkaitan dakwaan penerimaan wang daripada syarikat berkaitan Kementerian Pendidikan semasa menjadi menteri, untuk tujuan politik.

Bekas pemimpin Bersatu yang baru mentyertai PKR itu bagaimanapun berkata dakwaan terhadapnya tidak konsisten, berubah-ubah dan satu pembunuhan karakter menjelang pilihan raya Johor.