Simpan kitab Sahih Bukhari di rumah supaya pencuri tak masuk, ‘petua’ MP Permatang Pauh kembali tular
Kitab hadis terkenal Sahih Bukhari kehabisan bekalan di Permatang Pauh bahkan juga seluruh Pulau Pinang ekoran orang ramai berebut-rebut membelinya, lapor harapandaily.
Kitab hadis terkenal itu bukan dibeli untuk dibaca tetapi untuk menghalau pencuri dan perompak bagi menyelamatkan harta benda mereka.
Tindakan ini dilakukan berdasarkan ajaran ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Mohamad Fawwaz Mohamad Jan dalam satu kuliah beliau yang kini ditularkan.
Itulah perkara yang akan berlaku jika penduduk Permatang Pauh mempercayai kuliah yang diberikan oleh ahli Parlimen mereka, Fawwaz Md Jan.
Fawwaz dalam satu kuliahnya berkata, mana-mana pihak yang mempunyai masalah kereta dan rumah mereka selalu dipecah masuk, mereka boleh mengekangnya dengan meletakkan kitab hadis Sahih Bukhari dalam kereta atau rumah mereka.
“Jika ayah-ayah dan ibu-ibu selalu kereta atau rumah mereka dipecah masuk, pergi ke kedai beli Sahih Bukhari yang Arab tu.
“Beli dan bubuh di rumah satu. Kalau nak kemaih lagi, beli satu lagi boh dalam kereta.
“Pasai apa ustaz. Imam Bukhari sebut, sapa-sapa rumah dia ada sahih aku, rumah dia pencuri tak masuk.
“Sapa-sapa kapal dia ada sahih aku, kapal dia tidak tenggelam.
“Sapa-sapa kenderaan dia ada sahih aku, kenderaan dia tidak dicelakakan,” kata Ustaz Fawwaz dalam satu kuliahnya yang kini tular di media sosial.
Fawwaz, yang mempunyai 11 anak, menang dalam pilihan raya umum ke 15 lalu apabila menewaskan Nurul Izzah Anwar yang mempertahankan kerusi itu.
Fawwaz, Exco Pemuda Pas Permatang Pauh menang dengan majoriti undi 5272 undi.
Fawwaz semalam memohon maaf ekoran dakwaan beliau, orang kafir berusaha untuk menjatuhkan agama Islam menerusi akaun Facebook (FB).
“Sebenarnya, ia (kenyataan) dimuatnaik oleh pengendali (admin) FB saya tanpa pengetahuan saya.
“Ini satu kekhilafan dan kesilapan pengendali FB . Saya memohon maaf sekiranya ada pihak tersinggung dan terasa hati dengan kenyataan itu.
“Pengendali FB saya juga sudah memaklumkan mengenai perkara ini dan saya memaafkannya apatah lagi manusia mana yang tidak pernah membuat kesilapan dengan berharap ia tidak lagi diperbesar-besarkan,” katanya, lapor Berita Harian.