Sindir menteri bawa anak dan isteri ke majlis Istana Negara, wargamaya anggap kelaku gelojoh isteri Saifuddin Abdullah sangat memalukan

Sindir menteri bawa anak dan isteri ke majlis Istana Negara, wargamaya anggap kelaku gelojoh isteri Saifuddin Abdullah sangat memalukan

Tindakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad membawa anak-anaknya ke majlis ramah mesra Aidilfitri di Istana Negara, semalam dipersoalkan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datin Seri Norlin Shamsul Bahri, isteri bekas menteri luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang kini adalah ahli politik dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi ruangan komen Instagram Nik Nazmi.

“Wah majlis rasmi bawa anak beranak ke istana negara.. tak tahu protokol ke pak menteri?” soalnya diruangan komen gambar yang dimuatnaik oleh Nik Nazmi di akaun Instagramnya.

Ahli Parlimen Setiawangsa membalas komen isteri bekas menteri luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Bagi menjawab sindiran itu, Ahli Parlimen Setiawangsa itu membalas komen itu dengan menulis dia sekadar memenuhi jemputan daripada Istana Negara.

“@norlinshamsul jemputan dari istana untuk bawa isteri, anak dan cucu.

“Tapi saya tiada cucu jadi bawa anak dan isteri,” balasnya.

Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati terdapat pelbagai reaksi warganet berhubung kenyataan itu Norlin.

Malah ada yang menyatakan bahawa gambar-gambar di laman Facebook Istana Negara turut menunjukkan terdapat ramai kanak-kanak lain pada majlis itu.

Dalam pada itu, para wartawan yang menerima jemputan tersebut turut mengesahkan bahawa anak-anak mereka turut dijemput.

Semalam 1 Syawal, Istana Negara mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Dewan Santapan Utama bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis itu dihadiri kira-kira 2,000 orang termasuk beberapa menteri kabinet, perwakilan asing, dan tokoh terkenal daripada komuniti perniagaan.