Sistem tanpa tunai, FOMCA selar sikap terburu-buru kerajaan

Sistem tanpa tunai, FOMCA selar sikap terburu-buru kerajaan

Sebuah kumpulan pengguna mengkritik langkah “tergesa-gesa” Putrajaya melaksanakan sistem tanpa tunai, sementara sebuah gabungan persatuan peniaga kecil pula mahu ahlinya diberikan latihan terlebih dahulu.

Mengulas pengumuman Menteri Kewangan,Tengku Zafrul Aziz semalam bahawa semua perkhidmatan kerajaan akan ditawarkan atas dasar tanpa tunai menjelang 2022, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Marimuthu Nadason berkata, rakyat tidak bersedia untuk sistem itu yang dilaksanakan oleh kerajaan secara tergesa-gesa.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Zamri Mohammed pula berkata, ramai peniaga kecil masih kurang pengetahuan yang diperlukan untuk berurusan dengan kerajaan tanpa menggunakan wang tunai.

Marimuthu berkata, sebagai pegawai bank, Tengku Zafrul mungkin tidak arif mengenai kehidupan orang miskin di luar bandar dan bagaimana mereka mencari rezeki.

“Mereka berurusan dengan pejabat kerajaan juga. Mereka turut ke pejabat pos. Tetapi bagaimana dengan akses internet?” soalnya.

Beliau berkata, mereka perlu diperkasakan dengan akses internet yang lebih baik dan kemudahan kad kredit kerana bank “tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kad kredit”.

“Fikir Mak Cik Kiah dahulu,” katanya merujuk kepada nama yang pernah digunakan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika menyentuh mengenai penjaja tepi jalan.

Marimuthu berkata, pandemik Covid-19 yang menjadikan persekolahan dan bekerja dari rumah satu keperluan, turut mendedahkan kelemahan rangkaian jalur lebar negara.

“Daripada mendesak dasar keterlaluan itu dilaksanakan pada saat-saat sukar sewaktu nyawa orang ramai dipertaruhkan, menteri kewangan sepatutnya fokus untuk membantu keluarga miskin B40 dan M40 yang bimbang dengan punca pendapatan mereka.”

Sementara itu, Zamri percaya sistem tanpa tunai adalah “pilihan terbaik”, tetapi peniaga kecil-kecilan lebih gemar menggunakan wang tunai ketika berurusan dengan kerajaan dan pelanggan mereka.

Katanya, persatuannya cuba menggalakkan transaksi dalam talian pada bulan Ramadan lalu, “tetapi responsnya tidak baik”.

Beliau berkata, kerajaan perlu berbelanja sedikit untuk mendidik peniaga mengenai e-dompet atau mereka tidak akan berubah.

Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak percaya kebanyakan penjaja bersedia menggunakan e-dompet dan pembayaran dalam talian, tetapi kerajaan perlu memberi kesedaran mengenai sistem tanpa tunai itu.

Katanya, beliau pernah ke sebuah kawasan terpencil di Sabah dan mendapati penjaja di situ menggunakan sistem e-dompet Alipay untuk pelancong dari China.

“Selepas mereka biasa dengan e-dompet, mereka akan menggunakannya.”

Beliau berkata, sistem tanpa tunai perlu diseragamkan untuk memudahkan peniaga, pengguna dan pejabat kerajaan.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/09/sistem-tanpa-tunai-kenapa-perlu-tergesa-gesa/