Siti Nurhaliza ‘tempelak’ portal hiburan pro PN, jangan sebar berita palsu

Siti Nurhaliza ‘tempelak’ portal hiburan pro PN, jangan sebar berita palsu

 

SEJAK Ahad, di media sosial kecoh dengan hantaran Facebook menggunakan akaun nama penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan mendakwa beliau tidak mengetahui program Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan di Alor Setar, Kedah pada malam Sabtu lalu berunsurkan politik.

Kenyataan itu turut menyebut Siti tetap meneruskan persembahan sebagai menghormati pihak kerajaan negeri tanpa ada sebarang hal bermotifkan politik.

Susulan itu, ramai meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan kenyataan itu tanpa mengetahui ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama penyanyi tersohor itu dengan membuat suntingan kenyataan bertujuan menyebarkan berita palsu.

Siti atau Siti Nurhaliza Taruddin, 44, mengesahkan laporan berkenaan adalah palsu dan meminta pihak berkenaan tidak menyebarkan fitnah.

Jelas Siti, peranannya sebagai penyanyi ialah untuk menghiburkan orang dan ia dan tidak lebih daripada itu.

“Siapalah yang pandai-pandai sunting berita palsu ini. Gunakan nama saya di Facebook (yang verified) dan sebarkan merata-rata dan yakinkan itu hantaran sebenar.

“Ini palsu! Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini. Saya ini penyanyi hiburkan semua orang.

“Bulan Syawal ini bulan jalinkan silaturahim bukan sebarkan berita-berita palsu,” katanya.

Siti berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya yang turut memaparkan hantaran tersebut.

Penyanyi itu turut menegur tindakan sebuah portal hiburan yang turut menyebarkan berita palsu tersebut dan beliau menjelaskan tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenainya.

“Jangan panjangkan berita palsu, saya tak pernah buat kenyataan itu,” katanya.

Sementara itu, isu tersebut turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang meminta agar penyebaran berita palsu mengenai Siti dihentikan.

Fahmi menerusi ciapan di Twitter berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan perkara itu selain meminta pihak media lebih berhati-hati sebelum menerbitkan sebarang berita.

“Malangnya berita palsu ini tersebar sejak semalam dan telah menjadi fitnah yang merebak jauh ke pelbagai komuniti. Malah ada yang percaya, atau dijadikan bahan politik.

“Saya pohon rakan-rakan media untuk sentiasa mengesahkan info dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu seperti ini.

“Tindakan undang-undang juga boleh diambil oleh agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran,” tulisnya.