Sittah Annur dibebas polis, kegagalan JAKIM serahkan laporan didedah sebagai punca

Sittah Annur dibebas polis, kegagalan JAKIM serahkan laporan didedah sebagai punca

Wanita didakwa ketua ajaran “Perjalanan Mimpi Yang Terakhir” (PMYT) dikenali Sittah Annur yang ditahan di kediamannya di Shah Alam, Sabtu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar, berkata ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengikut arahan timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan JAKIM atas arahan timbalan pendakwa raya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, media melaporkan polis menyerbu rumah wanita itu dan menemui resit berjumlah RM84,721, dipercayai hasil sumbangan pengikutnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Basri Sagoni, dilaporkan berkata resit itu dirampas bagi membantu siasatan selepas suspek berusia 39 tahun ditahan di rumahnya pada 1.10 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita itu mendakwa boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad.

Suspek juga mengaku sebagai ketua PMYT dan mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat Islam lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masing-masing kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sumber – FMT