Skandal penipuan pembelian 28, 000 tan beras calar imej kepimpinan Sanusi

Skandal penipuan pembelian 28, 000 tan beras calar imej kepimpinan Sanusi

Penipuan sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah berjaya dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan bahan makan ruji negara ini.

Satu sumber mendedahkan, syarikat terbabit mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung.

Jelas sumber itu, berdasarkan kontrak tersebut, syarikat terbabit membuat pinjaman bank kira-kira RM30 juta sebagai pembiayaan projek tersebut beberapa tahun lalu.

“Pengarah syarikat tersebut berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri tersebut untuk mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun bernilai lebih RM100 juta, namun, pembekalan tersebut tidak dibuat.

“Syarikat tersebut dikatakan telah pun menerima amaun kira-kira RM30 juta itu menerusi beberapa transaksi,” katanya, memetik Utusan Online.

Kata sumber itu lagi, suspek terbabit juga dikatakan mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu kepada pihak bank untuk proses permohonan pembiayaan pinjaman.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan berkaitan siasatan tersebut.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.