Skandal rasuah REE di Kedah: Setelah banyak kali berdolak dalih, Sanusi akhirnya mengaku pernah jumpa So Loi Fat

Skandal rasuah REE di Kedah: Setelah banyak kali berdolak dalih, Sanusi akhirnya mengaku pernah jumpa So Loi Fat

 

Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengakui pernah bertemu seorang warga China yang kini diburu berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Bagaimanapun Sanusi berkata urusan warga China itu adalah dengan Pejabat Tanah dan Galian Kedah serta Menteri Besar Incorporated (MBI) milik kerajaan negeri, yang mana tidak melibatkan dirinya.

Sanusi memberitahu Malaysiakini yang individu tersebut memiliki syarikat tenaga solar yang mengadakan usaha sama dengan MBI, dan telah berada di Malaysia sebelum dia menjadi menteri besar pada 2020.

“Saya tak ingat berapa kali jumpa (dengan individu itu), yang saya ingat jumpa di pejabat sekali dan rumah terbuka hari raya sekali,” katanya ketika dihubungi.

Walaupun berjumpa, kata Sanusi, mereka tidak boleh berkomunikasi memandangkan warga China itu tidak berbahasa Inggeris dan Melayu.

“Jumpa pun tak boleh cakap apa sebab dia tak tahu bahasa Inggeris. Dia sudah ada di negara ini sebelum saya jadi menteri besar lagi. Saya tak tahu sejak bila,” kata Sanusi.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama suspek kes jenayah selagi dia belum dituduh di mahkamah.

Sanusi berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung sidang media Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di Alor Setar, di mana dia mendedahkan gambar Sanusi bersama-sama suspek.

Saifuddin berkata tidak salah untuk Sanusi bergambar dengan individu tersebut namun tidak seharusnya menafikan yang dia mengenalinya.

“Terang ada surat dari menteri besar dan CEO MBI dengan nama dua warga China yang saya bangkitkan berkali-kali. Menteri besar harus bertanggungjawab menjawab soalan yang dibangkitkan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Laporan: Sanusi kata suspek bawa penterjemah

Bagaimanapun, dalam ucapan di Kuala Kedah hari ini, Sanusi berkata dalam pertemuan dengan suspek, individu itu ada membawa penterjemah bersama-samanya.

“Dialah cerita kat saya pasal dah bagi kat MBI (Perbadanan Menteri Besar Kedah) RM5 juta sebelum ini, dia dah habis RM30 juta, dia dah buat macam-macam persiapan dan dah ada perjanjian dengan MBI. Sebelum saya masuk office.

“(Bila saya jadi Menteri Besar) jadi saya kata teruskan saja. Buatlah apa yang nak buat tapi make sure (pastikan) ikut undang-undang,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Pemimpin PAS itu turut mendakwa dia hanya sedar Saifuddin merujuk individu tersebut selepas melihat gambar yang didedahkannya.

Sementara itu, Sanusi turut mempersoalkan tindakan Saifuddin yang memberi tumpuan terhadap kes di Kedah, di saat ada banya kalgi perlombongan haram REE di seluruh negara.

Katanya, ia berdasarkan kenyataan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara bahawa ada 60 lombong haram REE.

“…Pasai apa Pudin (Saifuddin) attack (serang) Kedah ja. Dan kenapa attack masa pilihan raya dan pasai apa tak attack sebelum ini atau selepas pilihan raya, pasal hang nak main politik, nak ambil kesempatan isu REE ini nak burukkan orang.

“Dia tak elok, hati tak murni.. pi cari lagi 59 lombong tu…ada di Negeri Sembilan, Pahang, Perak. Awat tak pi siasat? Pasai apa mai di Kedah ja? Pasal hang nak bunuh Sanusi.. Nusi ni nyawa liat bos…dia payah ‘mati’,” katanya lagi seperti dipetik.

Setiausaha agung PKR itu dalam siri ceramahnya di Kedah sempena PRN kali ini telah membangkitkan dakwaan mengaitkan Sanusi dengan kes REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, Kedah.

Sanusi menafikan dakwaan yang dibuat dan mengancam untuk memfailkan saman, namun Saifuddin mempertahankan dakwaannya dan terus membuat pendedahan berkenaan isu tersebut.

Individu yang dinamakan Saifuddin dalam sidang medianya adalah milik salah seorang daripada dua warga China yang sering disebut dalam ceramahnya, yang didakwa diambil kerja oleh MBI untuk kerja penerokaan REE.

Seorang warga China dikatakan telah ditangkap ketika menceroboh hutan simpan bersama-sama 380 beg bijih nadir bumi, manakala seorang lagi – yang dibangkitkan Saifuddin hari ini – dilaporkan menghilangkan diri.

Sementara itu, Saifuddin berkata selaku ahli lembaga penasihat MBI, Sanusi tidak sepatutnya “mencuci tangan” daripada hal ehwal syarikat itu dan menyabitkan kelemahan syarikat itu kepada CEO Muhamad Sobri Osman.

Dia juga menyangkal dakwaan Sobri bahawa dua individu tersebut bukan bekerja di bawah MBI.

Dia mendedahkan apa yang didakwa sebagai surat daripada Sobri kepada Hamzah Zainudin ketika menjadi menteri dalam negeri, bagi mendapatkan pas pekerja dan kelulusan daripada Jabatan Imigresen.

“Jelas ada permohonan Pas Lawatan Ikhtisas kepada dua warga China ini dengan majikannya adalah MBI. Kini penafian dibuat oleh pengurusan tertinggi perbadanan itu,” katanya lagi.

Semalam, MBI membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan Saifuddin.