Skandal rasuah REE di Kedah: SPRM panggil semua 10 exco Kedah untuk disiasat

Skandal rasuah REE di Kedah: SPRM panggil semua 10 exco Kedah untuk disiasat

 

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memaklumkan kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Beliau berkata, SPRM bagaimanapun belum menghubungi beliau untuk berbuat demikian.

Katanya, sebahagian EXCO terbabit sudah memberi keterangan, manakala sebahagian lagi akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Saya pun hairan, tak pernah lagi EXCO dipanggil setiap seorang untuk mengesahkan minit mesyuarat. Ada dalam kalangan mereka yang sudah beri keterangan dan sebahagian lagi belum.

“Saya difahamkan semua akan beri keterangan di Alor Setar dengan ada antara mereka dipanggil hari ini, selebihnya esok. Setakat ini saya belum dipanggil (beri keterangan).

“Mungkin saya akan dipanggil selepas itulah kot,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Bagi Tahun Kewangan 2022 dan 2023, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Sementara itu EXCO kerajaan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri ketika dihubungi mengesahkan beliau sudah dihubungi SPRM hari ini bagi mendapatkan keterangannya.

“Mungkin saya akan berbuat demikian (beri keterangan) esok. Mengapa saya dipanggil tak pastilah kerana belum bertemu mereka lagi,” katanya.

Pada 20 Julai lalu, SPRM mengesahkan sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata semua saksi dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu kertas siasatan.

Azam berkata, pihaknya juga menjangkakan akan ada lagi saksi dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk Muhammad Sanusi.

Sehari sebelum itu, SPRM menahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bersama seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.

Suspek berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan masing-masing di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara.

Pada Isnin, seorang lagi pegawai kanan Menteri Besar Kedah ditahan anggota penguat kuasa SPRM selepas penahanan seorang pembantu kepada pemilik syarikat, menjadikan setakat ini seramai empat orang ditahan.