SKMM perkenal kod etika sekat produk penunggang agama

Sebuah pusat dasar kesihatan mengalu-alukan keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menguatkuasakan kod etika baharu bagi mengekang penggunaan elemen keagamaan dalam mengiklan dan mempromosikan produk.
Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib perkara itu sepatutnya telah lama dilaksanakan memandangkan lambakan produk yang mengeksploitasi kepercayaan keagamaan dan kejahilan terhadap sains.
“Ada produk yang jelas mengeksploitasi segelintir masyarakat yang mudah ‘termakan’ dengan dakwaan keagamaan dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan mereka dan keluarga.
“Ramai orang yang hidup dengan penyakit serius dan kronik seperti kanser dan kencing manis, yang memerlukan rawatan perubatan betul. Sebaliknya mereka ‘digoda’ dengan dakwaan yang tidak berasas dan tidak terbukti kebenarannya,” katanya kepada FMT.
Pada Rabu, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mediha Mahmood berkata berkata, Kod Kandungan 2022 telah didraf untuk menghalang pengiklan dan pemilik produk menggunakan elemen keagamaan untuk menarik pelanggan.
Katanya, kod itu akan dikuatkuasakan menjelang hujung tahun ini, dan menambah larangan berkenaan terpakai untuk penggunaan elemen keagamaan bagi semua agama, bukan saja Islam. Ini supaya agama tidak digunakan sebagai gimik pemasaran.
Azrul menambah, kod etika adalah penting untuk menghalang penjualan produk yang mendakwa mampu menyembuhkan kanser atau kencing manis menggunakan kalimah keagamaan.
Katanya, produk seperti itu hanya membahayakan malah mengganggu proses rawatan dan penjagaan yang sepatutnya untuk pesakit.
Bagaimanapun, Azrul percaya orang ramai tetap akan membeli produk yang sebelum ini diiklankan menggunakan elemen keagamaan walaupun sekatan diletakkan.
Menurutnya ini kerana golongan itu telah meletakkan kepercayaan penuh dalam barangan berkenaan, apatah lagi kepercayaan agama sesuatu yang begitu sebati dengan kebudayaan dan masyarakat Malaysia berbanding bukti saintifik.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) berkata, pengguna Muslim pasti mendapat manfaat daripada peraturan berkenaan, malah menyifatkan keputusan itu tepat pada waktunya memandangkan penggunaan media sosial secara berleluasa untuk menyebarkan salah faham dan kekeliruan.
Imam menggesa pihak berkuasa menyediakan garis panduan dan penilaian kandungan bagi pembuat serta pengiklan Muslim, bagi mengekang penyebaran maklumat salah.
“Garis panduan seperti itu pasti akan membantu pengiklan memberikan maklumat lebih tepat, sesuai dan sebenar mengenai produk mereka,” katanya.