Sofia Albarakbah nafi nak sondol suami orang
Pelakon, Sofia Albarakbah, 30, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pihak yang sewenang-wenangnya menggelarnya seorang penyondol gara-gara kontroversi yang melanda dirinya sebelum ini.
Katanya, perkara itu amat menyakitkan hati dan membuatkan dia rasa tertekan dan menggangu emosinya.
“Kenapa pelakon lelaki berstatus suami orang kena berjaga-jaga sebab saya? Kenapa tidak mereka yang behave?
“Saya tidak memulakan apa-apa, kenapa saya yang dipersalahkan? Saya tak ‘sondol’ sesiapa okey. Buka kamus dan fahami maksud sondol itu apa,” tegasnya.
Sofia sebelum ini mencipta kontroversi selepas dituduh menjadi orang ketiga yang mengakibatkan rumah tangga pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz berantakan.
Perkara itu mulai panas selepas isteri Aliff, Bella Astillah mendedahkan tentang kewujudan seorang pelakon perempuan yang menyimpan hati terhadap suaminya selepas mereka bergandingan dalam sebuah drama.
Dalam pada itu, Sofia memaklumkan sudah matang dan tidak mudah ambil pusing terhadap tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
“Sebagai anak seni, saya tak boleh lari dari kontroversi. Apa yang berlaku antara saya dengan Tuhan dan orang-orang yang rapat yang tahu. Mereka kenal saya orangnya macam mana.
“Orang luar bercakap buruk pasal saya sedangkan mereka tak kenal pun saya. Itu dosa mereka dan tak ada kena mengena dengan saya.
“Jujur saya katakan memang saya sakit hati dan jadi tertekan kerana menjadi sasaran dan tohmahan orang. Tapi lama kelamaan perkara itu menguatkan dan mematangkan. Sekarang saya lebih kuat berdepan kontroversi,” luahnya.