Sokong bawa rebah, Tok Uban anggap kenyataan Tajudin pendekkan hayat pemerintahan Ismail

Sokong bawa rebah, Tok Uban anggap kenyataan Tajudin pendekkan hayat pemerintahan Ismail

Di sebalik sokongan penuh yang disuarakan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk terus mentadbir negara sehingga penggal Parlimen berakhir pada 2023 semalam, ianya disambut dengan nada skeptikal oleh seorang pemimpin veteran UMNO.

Pemimpin veteran yang dimaksudkan ialah Datuk Shahrir Samad, bekas Ahli Parlimen Johor Bharu dan juga bekas MKT UMNO.

Dalam hantarannya di FB siang tadi, dia meluahkan kehairanannya terhadap tindakan BBC yang diketuai Tajudin Abdul Rahman dalam menyatakan sokongan agar kepimpinan Ismail Sabri terua dipertahankan sehingga habis penggal nanti.

Menurutnya lagi, kenyataan yang sama pernah dilakukan oleh 6 MP UMNO dan 18 MP Pas sewaktu pemerintahan Tun M oleh kerajaan PH dahulu.

Tulisnya lagi,

Bila berlakunya pernyataan sekumpulan ahli2 parlimen sebegini, teringat saya kepada kenyataan yang sama terhadap kepimpinan Tun Mahathir sebelum dia sendiri meletakkan jawatan.

Masa tu pun, tak de ribut apa2. Hanya PRK Tg Piai bakal diadakan dan BN sudah pun menang di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Sekarang ni, BN baru je menang besar di PRN Melaka sehingga mampu menubuhkan sebuah kerajaan yang ‘dominant’, iaitu kuat dan stabil.

Mungkin ini caranya ahli2 parlimen kita ni sambut kemenangan UMNO dan BN.

#MengulangiSejarah

Sementara itu, Pengerusi BBC Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kepimpinan perdana menteri perlu diteruskan bagi membantu kabinet memberikan fokus kepada usaha membela rakyat dan mengatasi masalah yang berlaku akibat Covid-19.

“Kami memberi kepercayaan yang tinggi kepada perdana menteri kerana beliau telah menunjukkan prestasi sangat baik dalam tempoh 100 hari sebagai perdana menteri.

“Beliau (perdana menteri) bersama ahli kabinet yang mempunyai mazhab (fahaman politik) berlainan telah dapat membuktikan kejayaan mereka dalam menangani wabak Covid-19 negara sehingga angka statistik menurun,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata antara petunjuk kejayaan yang dilakukan Ismail Sabri ialah menambah peluang pekerjaan, merancakkan semula sektor ekonomi, memulihkan industri pelancongan dan membuka peluang perniagaan kepada rakyat.

Malah, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga pada persidangan Dewan Rakyat hari ini juga membuktikan hasil kejayaan perdana menteri dalam mengurus negara.

Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Tajuddin percaya keadaan negara yang dipimpin Ismail Sabri akan terus stabil dan kukuh terutamanya dengan amalan politik matang yang dilaksanakan semasa pentadbiran kerajaan ketika ini.