Sokong kempen ‘Code Black’, Saifuddin dituntut letak jawatan menteri tanda solidariti

Sokong kempen ‘Code Black’, Saifuddin dituntut letak jawatan menteri tanda solidariti

Tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah menukar gambar profail di laman Facebooknya kepada monokrom sebagai simbolik menyokong kempen “Code Black” mendapat kecaman di media sosial.

Kempen berkenaan sebagai tanda solidariti kepada nasib doktor kontrak menyebabkan Saifudin dikritik kerana kedudukannya sebagai anggota Jemaah Menteri.

Seorang pengguna media sosial, Aliff Haziq berkata, Saifuddin sepatutnya meletakkan jawatan jika bersimpati dengan nasib doktor kontrak dalam kerajaan.

“Jika tidak setuju, sila letakkan jawatan anda sebagai tanda bersodaliriti bersama rakyat atau anda sebenarnya sayang dengan gaji tinggi sebagai menteri?” kata pengguna media sosial itu.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.

Doktor kontrak terbabit mendakwa mereka terpaksa mengambil tindakan drastik dengan tidak bekerja mulai 26 Julai ini jika kerajaan tidak memenuhi tuntutan dalam isu lantikan ke status tetap.

Selain Saifuddin, ahli politik yang turut sama menunjukkan solidariti adalah bekas menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.

Semalam Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, meminta doktor kontrak bersabar sementara isu itu dibincangkan oleh Kabinet dalam masa terdekat.

Sebelum ini, sebuah kumpulan mewakili 23,000 pegawai perubatan kontrak memberi amaran akan mengadakan hartal atau mogok pada 26 Julai ini jika masih tiada jalan penyelesaian dalam isu pelantikan mereka secara tetap.

Difahamkan isu jurang gaji RM700 sebulan dan ketiadaan peluang untuk melanjutkan pelajaran kecuali atas tajaan sendiri yang hanya melibatkan disiplin perubatan tertentu adalah antara perkara yang akan dibangkitkan ketika mogok nanti.

Sejak 2016, 789 atau 3.4% pegawai perubatan dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak

Sumber – FMT