Sokong PMX: Bersatu gantung keahlian ahli parlimen Kuala Kangsar 4 tahun

Sokong PMX: Bersatu gantung keahlian ahli parlimen Kuala Kangsar 4 tahun

 

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid digantung keahliannya oleh BERSATU selama tempoh empat tahun susulan pendiriannya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Lembaga Disiplin BERSATU bersidang pada semalam, bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan pelanggaran Perlembagaan oleh Iskandar.

“Selepas diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan BERSATU.

“Sehubungan dengan itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain digantung keahliannya berserta semua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 November 2023 (semalam),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sebelum ini, Iskandar dalam satu kenyataan memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Anwar.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Selain Iskandar, seorang Ahli Parlimen Labuan daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaili Abdul Rahman turut menzahirkan sokongan serupa kepada kepemimpinan Anwar.

Suhaili dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, serta masalah bekalan air dan elektrik di sana.

Suhaili dijangka bakal berdepan tindakan sama daripada Jawatankuasa Lembaga Disiplin BERSATU.