Sokongan rakyat luar biasa, Suhaizan yakin dapat kekalkan kerusi Pulai milik PH

Sokongan rakyat luar biasa, Suhaizan yakin dapat kekalkan kerusi Pulai milik PH

 

Sokongan luar biasa diterima daripada masyarakat menyebabkan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen milik PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.

Beliau berkata, sokongan yang diberikan masyarakat terhadapnya berbeza dengan apa yang diperolehnya ketika enam kali bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Katanya, situasi itu sekali gus menunjukkan kesan hubungan muafakat Kerajaan Perpaduan antara PH bersama Barisan Nasional (BN).

“Sokongan masyarakat saya lihat sangat luar biasa. Banyak tempat saya pergi, memang sokongan diberikan sangat luar biasa.

“Saya tidak pernah mendapat sambutan sebegini sebelum ini. Saya percaya inilah antara kesan hubungan muafakat Kerajaan Perpaduan PH bersama BN.

Sementara itu, ditanya mengenai kempen pilihan raya yang masuk hari keenam ini, Suhaizan yang mengubah pendekatan kempen kepada skala yang lebih kecil berkata, jentera parti sudah mula digerakkan dari rumah ke rumah.

Katanya, jentera yang ditugaskan melaksanakan kempen seumpama itu terdiri daripada Wanita PH termasuk Amanah dengan kerjasama Wanita Umno.

“Kita memang ada pasukan yang jayakan pendekatan kempen rumah ke rumah atas kerjasama daripada Wanita Umno.

“Kita lihat, jika berceramah saja, ia tidak betul-betul mendekati pengundi kerana ia berbentuk satu hala dalam kita berikan maklumat kepada mereka.

“Tetapi, apabila kita pergi dari rumah ke rumah, kita akan dapat lebih mendekati mereka, kita lebih mengetahui apa masalah di setiap rumah itu khususnya setiap institusi keluarga itu dan jika mereka adalah masalah berkaitan isu kebajikan, mudah untuk kita terus bantu,” katanya.

Pada masa sama, ketika ditanya mengenai isu di kawasan PPR, Suhaizan berkata, beliau melihat masalah tempat letak kereta dan lif masih menjadi perkara utama yang perlu diberi fokus.

Katanya, kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap dua isu berkenaan memandangkan ia mengundang kepada ketidakselesaan penduduk dalam menjalani kehidupan harian mereka.

“Di PPR, memang sejak dulu lagi isu yang banyak diperkatakan adalah isu parkir dan lif. Ada kawasan yang parkirnya sudah sampai tiga baris.

“Kerajaan perlu cari jalan bagaimana untuk bantu. Cara terbaik sebenarnya kita berikan tempat letak kereta yang khusus, tetapi kosnya memang agak besar.

“Isu lif juga pernah dibawakan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sebenarnya banyak yang di dalam proses pembaikan. Kita harapkan isu lif ini akan selesai hujung tahun ini,” katanya.