Speaker perjelas isu sebenar kenapa hanya 80 MP dibenarkan masuk sidang dewan rakyat

Speaker perjelas isu sebenar kenapa hanya 80 MP dibenarkan masuk sidang dewan rakyat

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun hari ini menjelaskan bahawa keputusan membenarkan hanya 80 ahli Parlimen masuk ke Dewan Rakyat bermula esok adalah keputusan konsensus semua ketua whip parti dalam pertemuan semalam.

Katanya, had 80 ahli Parlimen dibenar masuk ke dewan melibatkan masa perbahasan sahaja dan tidak ketika undian dibuat.

“Itu semasa kehadiran dan perbahasan sahaja, tetapi kalau ditakdirkan ada undi belah bahagi, maka kita dah setuju untuk membunyikan loceng 2 minit dan ditempohkan lagi 10 minit dan bunyikan lagi loceng 2 minit supaya semua ahli Parlimen yang berada di luar dewan dapat datang dan mengundi.

“Jadi, kita tak akan hadkan angka pengundian kepada 80 orang, masa mengundi kita akan beri peluang kepada semua,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menafikan berlaku pembohongan atau penipuan seperti yang dilaporkan di Twitter oleh beberapa pihak.

“Jadi, tidak ada pembohongan atau penipuan seperti yang saya tengok dalam Twitter tadi. Saya rasa itu salah, amat salah sekali,” katanya.

Azhar berkata demikian selepas ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer meminta penjelasan mengenai keputusan itu.

Dalam pada itu, Azhar berkata, Dewan Rakyat bersetuju bahawa angka 41 ahli Parlimen kerajaan dan 39 pembangkang dan bebas dibenar masuk mencerminkan majoriti di Dewan Rakyat pada masa ini.

“Itu semasa kehadiran dan perbahasan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Rayer juga mempersoalkan kenapa ahli Parlimen dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk mengundi, tetapi tidak dibenarkan masuk semasa persidangan berjalan.

Azhar berkata, rasional langkah itu ialah untuk tidak mendedahkan ahli Parlimen kepada kumpulan yang ramai untuk masa yang lama di dalam dewan.

“Sebab itu, bagi masa mengundi itu kita mungkin hadkan 15 ke 20 minit.

“Rasionalnya itu kita tak nak terdedah dalam kumpulan yang ramai dan dalam masa yang lama. Itu rasionalnya,” katanya.

Terdahulu, Azhar berkata, hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan memasuki dewan pada satu-satu masa bermula esok dengan waktu persidangan dipendekkan dari 10 pagi hingga 2 petang minggu depan.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon yang membacakan peraturan baru itu berkata, 41 daripada 80 tempat akan diwakili oleh ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan baki 39 oleh anggota pembangkang dan bebas.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menyekat penyebaran Covid-19 di Parlimen.

Bagaimanapun peraturan baru itu ditentang oleh ahli Parlimen pembangkang kerana berpendapat Dewan Rakyat harus mempunyai rancangan yang lebih baik untuk mengekang Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, beliau tidak berniat untuk menghalang media hadir ke Parlimen atau melaporkan berita ketika pembentangan Belanjawan 2021 esok.

Beliau berkata, hanya media terpilih dibenarkan bagi memastikan peraturan penjarakan fizikal dipatuhi sepenuhnya.

“Ada yang mengatakan kami berusaha untuk menghalang media (daripada membuat laporan). Itu tidak benar,” katanya.

Azhar berkata, ada masanya terdapat sehingga 137 wakil media dan jumlah itu tinggi serta boleh menyukarkan penjarakan fizikal.

“Hanya 60 orang (wakil) yang dibenarkan,” katanya, dengan menambah bahawa RTM dan Bernama dibenarkan kerana ia dianggap media rasmi.

Sumber: Free Malaysia Today