Spekulasi peruntukan khas sekolah vernakular akhirnya terjawab

Spekulasi peruntukan khas sekolah vernakular akhirnya terjawab

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata bahawa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz akan mengumumkan peruntukan khas kepada sekolah vernakular dalam masa terdekat.

Ini selepas kecaman daripada pemimpin pembangkang dan pemimpin komuniti Cina dan India yang mempersoalkan tindakan Zafrul tidak mengumumkan peruntukan khas kepada sekolah vernakular dan sekolah agama serta mubaligh.

“Saya difahamkan menteri akan membuat pengumuman peruntukan khas kepada sekolah vernakular dalam masa terdekat.

“Dua hari yang lalu, saya mengadakan perbincangan dengan Tengku Zafrul dan Menteri Pendidikan (Mohd Radzi Jidin) berhubung peruntukan khas. Akan ada pengumuman dalam masa terdekat,” katanya di sidang media berhubung Inisiatif Kementerian Sumber Manusia di bawah Belanjawan 2021 di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Tengku Zafrul berkaitan perkembangan itu.

Untuk rekod, kerajaan dalam belanjawan mengumumkan bahawa sebanyak RM800 juta disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Peruntukan ini juga termasuk kerja-kerja menaik taraf dan membina dewan terbuka atau struktur berbumbung bagi menyediakan tempat berhimpun yang selesa dan selamat di sekolah-sekolah kerajaan.

Bagaimanapun, ramai pemimpin pembangkang dan kerajaan mempersoalkan tiada peruntukan secara khusus kepada sekolah vernakular yang merupakan satu amalan diamalkan sejak zaman bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

“Saya sebagai wakil masyarakat India di kerajaan akan memastikan mendapatkan peruntukan khas ini dalam masa terdekat.

“Pada masa saya berjanji sekolah vernakular tidak akan dipinggirkan dalam kerajaan hari ini,” katanya.

Sumber: Malaysiakini