Spekulasi Zahid bakal dilantik Yang Dipertua Negeri Melaka, ini penjelasan Ahmad Maslan

Spekulasi Zahid bakal dilantik Yang Dipertua Negeri Melaka, ini penjelasan Ahmad Maslan

 

Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan spekulasi kononnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka baharu dalam masa terdekat.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu hanya menggeleng kepala apabila diberitahu laporan melibatkan Presiden UMNO tersebut tular menerusi media sosial sejak kelmarin.

“Cerita itu tidak benar sama sekali,” tegasnya secara ringkas apabila ditanya pemberita mengenai beberapa hantaran yang disiarkan warganet berhubung spekulasi berkenaan susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri itu membayangkan beliau di penghujung perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ahmad Zahid yang menjadi wakil rakyat kawasan di Perak itu selama tujuh penggal sejak Pilihan Raya Umum (PRU) kesembilan pada 1995 namun enggan mengulasnya terperinci sebaliknya berseloroh kemungkinan perkara itu berlaku selepas habis PRU ke-16, ke-17 atau ke-18.

Menjelaskan lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian di Johor dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, beliau pun tidak tahu-menahu mengenai spekulasi itu.

“Dari mana pula kamu (wartawan) dapat cerita ini?” soal beliau selepas menyaksikan perlepasan misi kedua bantuan Ops Ihsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini lewat malam tadi.

Ketika ini, jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka disandang oleh Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam sejak dilantik pada 4 Jun 2020 lalu bagi menggantikan Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Pelantikan bekas Ketua Menteri Melaka itu sebagai ketua negeri tersebut melakar sejarah apabila muncul selaku individu kelahiran Melaka pertama memegang jawatan berkenaan

Sebelum itu enam penyandang Yang Dipertua Negeri Melaka merupakan ‘orang luar’ dan situasi tersebut janggal berbanding tiga negeri tiada beraja yang diisi individu tempatan.